Saturday, December 10, 2011

Solat Sunat Gerhana bulan 10 Disember 2011 (Sabtu)

Makluman daripada pihak PAID Sepang. Adalah dimaklumkan bahawa malam ini (10 Disember 2011) akan berlaku gerhana bulan selepas jam 8.30 malam. Oleh itu mohon didirikan solat sunat gerhana. Sehubungan itu, masjid As-Syakirin akan mendirikan solat sunat gerhana bulan selepas kuliah Ustaz Najmudin Abd Karim dan solat Isyak. Harap semua dapat hadir ke Masjid. 

Friday, December 9, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
9 Disember 2011 (Jumaat)-Ustaz Hj. Hafidz Selamat-Kuliah Tasawwuf; 10 Disember 2011 (Sabtu)-Ustaz Najmuddin Abdul Karim-Kitab Tanbihul Ghafilin; 11 Disember 2011 (Ahad)-Ybhg Dato' Zakaria-Kuliah Subuh; Selepas Maghrib-Ustaz Hj Mohammad b. Rani-Kuliah Tauhid; 12 Disember 2011 (Isnin)-Selepas Isya'-Kuliah Tajwid-Ustazah Hjh Wan Noraini; 13 November 2011 (Selasa)-Kuliah Dhuha Muslimat-Ustazah Junaidah Awang; Kuliah Hadith-Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin Muslimat dijemput hadir.

Saturday, November 26, 2011

Ceramah Umum Sempena Maal Hijrah 1433 H





Ceramah tersebut telah berlangsung dengan jayanya dengan ceramah bertajuk "Hijrah yang dituntut" oleh Ybhg Ustaz Sharir Long. Kami seluruh Jawatan kuasa serta pegawai masjid mengucapkan Selamat Menyambut Tahun baru Hijrah 1433 kepada semua ahli jemaah, penduduk kampung Jenderam Hilir serta rakan FB, marilah kita berazam untuk berhijrah meneruskan perjuangan dan pengorbanan untuk agama Allah dengan mengimarahkan masjid serta bersungguh-sungguh menuntut ilmu dunia dan akhirat. Berazamlah untuk menyertai segala aktiviti dan program anjuran pihak masjid untuk tahun baru 1433 H

Monday, November 21, 2011

Program Sempena Cuti Sekolah

Adalah dimaklumkan bahawa masjid As-Syakirin akan mengadakan dua program untuk remaja sempena cuti persekolahan akhir tahun 2011. Program tersebut adalah seperti berikut:

1. “KEM TILAWAH, HAFAZAN DAN JATIDIRI MUSLIM” 

Tarikh         :  28 November 2011 -16 Disember 2011
Hari            :  Isnin hingga Jumaat
Masa          :  8.00 pagi-5.30 petang
Tempat       :  Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
Sasaran      :  Remaja @ anak Qariah Masjid As-Syakirin Kg Jenderam 
Hilir berusia 7 tahun hingga 16 tahun


2. “PROGRAM REMAJA CINTAI MASJID”
Tarikh        :  17 Disember 2011 – 21 Disember 2011
Hari           :  Sabtu hingga Rabu (Bermalam hari Selasa sahaja)
Masa         :  8.00 pagi-5.00 petang
Tempat      : Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
Sasaran      : Remaja @ anak Qariah Masjid As-Syakirin Kg Jenderam Hilir berusia 11 tahun hingga 17 tahun 


Pakaian:
Lelaki – Baju melayu dan berkopiah
Perempuan – Baju kurung atau jubah dan bertudung. Sila bawa telekung bersama.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Tn Haji Huhamad Zamani Hamzah (019-2813782)
Ustaz Nazwan Saidi (013-2719545)
Ustazah Hjh Wan Noraini Wan Mohd Nor (019-2163782)
Ustazah Junaidah Awang (017-6843469)

Thursday, November 10, 2011

khutbah Jumaat 11 November 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini "Bersama-sama bermujahadah memerangi dadah" Krisis dan kemelut sosial  Negara berada pada tahap yang amat membimbangkan. Antara masalah yang dihadapi adalah penyalahgunaan dadah, penagihan, pengedaran dan penyeludupannya mengepalai senarai gejala-gejala negatif tersebut seolah-olah sudah hilang jalan penyelesaiannya.  Kita semua sedar bahawa dadah tersenarai sebagai musuh nombor satu negara yang telah mengorbankan  banyak jiwa, tenaga dan harta negara. Dadah ialah apa-apa jua bahan kimia, sama ada asli atau tiruan, apabila dimasuk dan diresapkan ke dalam tubuh badan dengan apa cara sekalipun, disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi jasmani, rohani dan tingkah laku. Penggunaan dadah yang berterusan akan membawa padah kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, Negara dan agama. Kesan seseorang yang melibatkan diri dalam penyalahgunaan najis dadah sama ada penagihan, pengedaran  atau penyeludupan  akan sanggup melakukan apa sahaja seperti mencuri, menyamun, membunuh, memperhambakan diri, menggadai maruah dan sanggup dipenjara malah dibunuh sekalipun. 
Pengambilan atau penyalahgunaan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqiaskan kepada arak. Dadah termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan dan yang menghilangkan akal. Arak dan dadah menatijahkan kesan yang sama iaitu memabukkan atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat yang mengambilnya. Atas  alasan inilah hukumnya haram.

Tiga sebab utama pengharaman dadah iaitu;
Pertama : Dadah bukan sahaja membawa kepada mabuk, tetapi juga membawa kepada hilangnya akal, dari itu ia adalah haram di sisi Islam. Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran.
Kedua : Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan penagih mati lebih awal. Islam sangat realistik  dan tujuan syarak yang lima itu ialah menjaga akal, harta, nyawa, agama dan keturunan.

Justeru itu pengharaman dadah berlaku kerana;

Pertama : Dadah boleh menghancurkan rumahtangga. Sekiranya individu yang terlibat dengan dadah itu adalah ketua keluarga, nescaya keadaan akan menjadi lebih parah, nafkah dan didikan keluarga terabai. Ada suami yang memaksa isteri melacurkan diri malah ada ayah yang memaksa anaknya memberikan wang kepadanya untuk membeli dadah.
Kedua : Dadah boleh mencetuskan perbuatan jenayah.Jenayah sememangnya ada kaitan langsung dengan penyalahgunaan dadah dalam semua bentuknya,  hilang punca kewarasan  diri dan akhirnya mendorong kepada mencuri, merampas, memeras ugut, merompak dan membunuh.
Ketiga : Dadah merosakkan diri sendiri. Penagih yang sudah sebati dengan ketagihan dadah amat sukar dipulihkan semula. Mereka hilang daya ketahanan diri, kotor, busuk, jijik dan yang paling bahaya ialah boleh menjadi hilang ingatan, gila dan akhirnya mati kerana najis dadah.
Keempat : Dadah boleh membawa penyakit. Penagih mudah terdedah kepada penyakit maut yang  sangat ditakuti terutamanya HIV atau  AIDS menerusi perkongsian jarum suntikan dan boleh pula memindahkan penyakit itu kepada orang lain yang tidak bersalah.
Kelima : Dadah mendorong manusia untuk membunuh diri.Islam mengharamkan membunuh diri dengan apa jua cara dan sebab sekalipun. Pengambilan dadah boleh membawa kepada kematian.

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
11 November 2011 (Jumaat)-Ustaz Hj. Hafidz Selamat-Kuliah Tasawwuf; 12 November 2011 (Sabtu)-Ustaz Najmuddin Abdul Karim-Kitab Tanbihul Ghafilin; 13 November 2011 (Ahad)-Ybhg Dato' Zakaria-Kuliah Subuh; Selepas Maghrib-Ustaz Hj Mohammad b. Rani-Kuliah Tauhid; 14 November 2011 (Isnin)-Selepas Isya'-Kuliah Tajwid-Ustazah Hjh Wan Noraini; 15 November 2011 (Selasa)-Kuliah Dhuha Muslimat-Ustazah Junaidah Awang; Kuliah Hadith-Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin Muslimat dijemput hadir.

Monday, November 7, 2011

Program Qurban/Aqiqah dan sambutan Hari Raya Aidil Adha Sekampung




Program tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli qariah serta jawatankuasa masjid yang telah bertungkus-lumus menjayakannya. Mohon maaf jika ada sebarang kesilapan sepanjang berlangsungnya program tersebut. Semoga program ini dapat diteruskan di masa akan datang, Insha Allah.

Tuesday, November 1, 2011

Pengagihan daging Qurban 1432H

Adalah dimaklumkan pengagihan daging qurban akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 6 November 2011
Masa : 12.00 tghari hingga 2.00 ptg
Tempat : Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir

Sila bawa kupon untuk mengambil daging qurban

Majlis Qurban/Aqiqah & Sambutan Hari Raya Aidil Adha Se Kampung

Adalah dimaklumkan majlis tersebut akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 6 November 2011 (Ahad) bersamaan 10 Zulhijjah 1432H
Masa : 7.00 pagi - 2.00 petang
Tempat : Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir

Agenda program tersebut:
1. Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha
2. Jamuan Hari Raya (selepas solat sunat)
3. Acara penyembelihan qurban/aqiqah
4. Tayangan video ceramah/cerita
5. Pertandingan mewarna kanak-kanak
6. Jamuan makan tengahari

Muslimin muslimat ahli kariah Kg Jenderam Hilir dijemput bersama-sama meraikan kemeriahan majlis ini.

Friday, October 28, 2011

Program Hari Raya Aidil Adha

Program ibadah korban Insha Allah akan diadakan pada hari raya pertama Aidil Adha. Pada pagi hari raya tersebut, selepas solat hari raya, Insha Allah ada sedikit jamuan, pelbagai aktiviti susulan seperti tayangan video, acara menyembelih lembu korban, gotong-royong memasak dan akhirnya jamuan makan tengahari. Muslimin muslimat ahli kariah dijemput hadir.

Pengumuman Ibadah Korban

Harga 1 bahagian untuk ibadah korban pada tahun ini adalah RM380. Sehingga kini telah
a
da 4 ekor lembu untuk korban. Kepada yang ingin menyertai, sila ambil borang penyertaan
dan hantar dengan segera sebelum 30 Oktober 2011. Terima kasih.

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
28 Oktober 2011 (Jumaat) Selepas solat Maghrib, kuliah oleh Tuan guru Hj Hafidz Selamat-Kitab Tuhfah Arroghibin.
30 Oktober 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar
1 November 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha muslimat jam 9.00 a.m oleh ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. 2 November 2011 (Rabu) Kelas tajwid muslimat slps Asar oleh Ustazah Hjh Noraini. Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, October 7, 2011

Mesyuarat Agung Masjid As-Syakirin

Adalah dimaklumkan mesyuarat agung Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir akan diadakan seperti berikut: Tarikh: 20 Oktober 2011 (Khamis)
Masa: Selepas solat Isyak.
Agenda utama mesyuarat adalah pembentangan aktiviti serta kewangan masjid 2011.
Semua penduduk kariah dijemput hadir.

Kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut: 8 Oktober 2011 (Sabtu) selepas maghrib-Ustaz Najmuddin A Karim. 9 Oktober 2011 (ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria. Kuliah Tauhid selepas Maghrib-ustaz Hj Mohamad b. Rani. 11 Oktober 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha muslimat jam 9.00 pagi-Ustazah Junaidah Awang. Selepas Maghrib-Kuliah Hadith-Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Saturday, October 1, 2011

khutbah Jumaat 30 September 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini "ISLAM PADA AKHIR ZAMAN" Allah SWT memberi peringatan kepada manusia yang berbangga dengan bilangannya dan pengikutnya yang ramai sedangkan mereka itu akan menyesatkannya dari jalan yang benar. Seringkali kita mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulankumpulan tertentu yang mendabik dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita. Jika kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada di jalan yang salah. pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka yang menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak takut kepada ancaman.
Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu?. Rasulullah s.a.w menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa”. (Riwayat Muslim)
Marilah sama-sama kita muhasabah diri, melihat sumbangan masing-masing terhadap agama yang kita cintai ini. Berapa ramaikah di kalangan kita yang mempunyai sifat ghuraba’ (asing) sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.?. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menegur dan mencegah kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat? Berapa ramai di kalangan kita yang berani untuk mempertahankan Islam, memperjuangkannya dan menegakkannya. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menahan celaan dan tohmahan kerana mempertahankan Islam?
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Moga-moga dengan kembalinya kita kepada ajaran Islam yang sebenar akan menjadikan kita umat yang bermotivasi, berinovasi dan memiliki keazaman yang tinggi untuk kembali semula menjadi umat yang cemerlang

Ibadah Korban tahun 1432 H

Penyertaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha 1432H kini dibuka. Harga satu bahagian (lembu) adalah RM380. Sila ambil borang penyertaan dan hantar kepada Nazir atau setiausaha masjid As-Syakirin dengan segera. Semua muslimin muslimat kariah Jenderam Hilir dijemput menyertai ibadah korban tahun ini.

Friday, September 30, 2011

Kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut; Tarikh; 2 Oktober 2011 (Ahad) kuliah subuh oleh ybhg Dato' Zakaria. selepas maghrib, kuliah feqh oleh ustaz hj Badrul. Tarikh; 4 Oktober 2011 (Selasa) kuliah dhuha muslimat oleh ustazah Junaidah jam 9.00 a.m. Selepas maghrib, kuliah hadith oleh ustaz Ismail ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Monday, September 26, 2011

Program meraikan bakal Jemaah haji dan hari raya



Program tersebut telah dilangsungkan dengan jayanya pada 26 September 2011 (Isnin) selepas solat Maghrib. Terima kasih kepada Tn Haji Halim Mat Esa, Kadi daerah Sepang yang telah sudi menyampaikan tazkirah berkenaan ibadah haji untuk menyuntik semangat para bakal jemaah haji. Terima kasih juga kepada semua jemaah yang telah hadir bersama-sama menjayakan program tersebut. Terima kasih.

Friday, September 23, 2011

khutbah Jumaat 23 September 2011

Tajuk khutbah minggu ini "KHURAFAT DAN TAHYUL MELEMAHKAN IMAN". Umat Islam di Malaysia tidak dapat lari dari istilah khurafaat dan tahyul. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana khurafat itu sendiri berakar umbi sejak zaman jahiliah lagi. Pada zaman jahiliah, mereka yang ingin bermusafir akan melepaskan seekor burung. Jika burung itu terbang ke kanan, maka ia akan meneruskan musafir kerana ia membawa alamat baik. Tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan pemergian kerana ditakuti akan ditimpa bala malapetaka.
Tahyul pula mempunyai hubungkait dan makna yang sama yang meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta. Untuk kita mengenali adakah ianya khurafat atau tidak adalah berdasarkan ciri-ciri berikut;
Pertama : Amalan yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak (al-Quran atau hadis Nabi saw.
Kedua : Mengandungi cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau karut.
Ketiga : Khurafat bersumberkan kepada kepercayaankepercayaan lama dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Keempat : Khurafat menggunakan objek-objek tertentu seperti keris, batu cincin, kayu koka dan sebagainya.
Kelima : Khurafat mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariah.
Keenam : Khurafat berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus melalui kubur, patung, pokok dan sebagainya.
Khurafat adalah satu bentuk penyelewengan akidah. Ia menyalahi pergantungan manusia kepada pencipta-Nya iaitu Allah sebaliknya berpaling kepada makhluk yang dicipta Allah. Malah Al-Quran telah mengarahkan agar manusia bergantung kepada Allah dan menolak kepercayaan selainnya agar kita memperoleh kebaikan dan menolak keburukan.
Sesungguhnya mempercayai perkara khurafat dan tahyul akan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Ini bertentangan dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya berlumba lumba mencari kebaikan dan kejayaan. Kita akan menjadi umat yang ketinggalan dan hanya melihat kejayaan yang dicipta umat lain. Setiap bala bencana, musibah, terkurang dan terlebih rezeki adalah ketentuan Allah.
Marilah kita terus meningkatkan kefahaman Islam dengan memperkukuhkan akidah. Hadirkan diri ke majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Hindarkan diri kita daripada fahaman yang menyesatkan dan mengelirukan. Kembalilah kepada pegangan akidah yang sebenar supaya kehidupan kita di redhai oleh Allah di dunia dan di akhirat.

Majlis sambutan hari raya dan meraikan bakal jemaah haji tahun 1432 H

Majlis sambutan hari raya Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir dan meraikan bakal jemaah haji tahun 1432 H akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 26 Setember 2011 (Isnin)
Masa: selepas solat Maghrib.
Muslimin muslimat dijemput hadir.

Kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut: Tarikh : 25 Sept 2011 (Ahad) , kuliah subuh oleh Ybhg Dato Zakaria, Kuliah tauhid oleh ustaz Mohamad b Rani. 27 Sept 2011 (Selasa) kuliah hadith oleh ustaz Ismail Ahmad. Semua dijemput hadir.

Saturday, July 23, 2011

Program gotong royong

Adalah dimaklumkan program gotong-Royong di masjid As-Syakirin sempena menyambut Ramadhan akan diadakan pada 24 Julai 2011 (Ahad) bermula jam 8.30 pagi. Sila bawa peralatan yang sesuai. Semua dijemput hadir

Program Rakan Masjid

Program tersebut akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 24 Julai 2011 (Ahad)
Tempat : Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
masa : 10.30 pagi.
Terbuka kepada semua penduduk Kg Jenderam Hilir

khutbah Jumaat 22 Julai 2011

Tajuk Khutbah Jumaat minggu ini "Sambutlah Ramadhan". Dengan penuh rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T, kita mengalu-alukan kedatangan ramadhan yang akan menjelang tiba beberapa hari lagi. Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan rahmat, bulan kebajikan, bulan maghfirah dan InsyaAllah akan
membebaskan kita daripada api neraka sekiranya kita benar-benar melaksanakan segala tuntutannya dengan penuh ketaatan. Setiap muslim mukmin yang muttaqi amat gembira dengan kedatangannya, sebaliknya
kedatangannya amat tidak disenangi pula oleh mereka yang lemah imannya.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:
“Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun”. (Riwayat At-Tabrani)
Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan
yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:
“Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa”. (Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;
“Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab”. (Riwayat Al-Muwatta’)
Diharap tidak ada di kalangan umat Islam yang melanggar perintah Allah SW.T supaya berpuasa. Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor telah menyebutkan bahawa:
“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau
dihisap serta-merta dalam waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya”.

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah Pengajian Minggu ini adalah seperti berikut:
23 Julai 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
24 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar.
25 Julai 2011 (Isnin) Ceramah Sempena menyambut Ramadhan-Selepas solat Maghrib
26 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.
Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, July 15, 2011

Sambutan Nisfu Sya'ban 1432 H

Adalah dimaklumkan sambutan Nisfu-Sya'ban akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 16 Julai 2011 (Sabtu)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Masjid As-Syakirin.
Muslimin Muslimat dijemput Hadir.

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
17 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas Maghrib, Ustaz Hj Badrul Hisham-kuliah Feqh
19 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith-Ustaz ismail bin Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Khutbah Jumaat 15 Julai 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "Pendidikan Aqidah menangkis gejala Murtad" Detik tenat dan nazak kematian merupakan saat perpisahan seseorang dengan keluarganya, hartanya dan dunia fana' ini seluruhnya. Saat seperti ini, biasanya digunakan oleh orang yang hampir mati untuk menyampaikan pesanan terakhir atau wasiat penting. Biasanya wasiat yang disampaikan adalah berkenaan harta peninggalan, tanah pusaka atau hak-hak yang belum selesai. Sebagai keluarga muslim, barangkali kita beranggapan bahawa persoalan agama, akidah dan ibadah sudah dikira selesai. Lalu fokus diberi kepada soal lain melibatkan hal-hal keluarga atau harta.
Namun, Al-Quran mengajar kita supaya persoalan akidah diberi keutamaan, walaupun dalam keluarga seorang nabi; nabi Yaakub a.s. Bahkan, bapanya Ishak dan datuknya Ibrahim juga adalah nabi. Logiknya, dalam sebuah keluarga nabi atau ulama', didikan akidah sudah selesai di peringkat awal atau kanak-kanak lagi. Apatah lagi keluarga nabi, yang diasuh oleh bapa dan datuknya yang juga nabi. Bahkan, salah seorang anak nabi Yaakub a.s. juga adalah nabi, nabi Yusuf a.s. Namun, soal akidah masih ditekankan di saat akhir hidup nabi Yaakub a.s. Tentunya juga, di saat anak-anak itu sudah dewasa dan sudah diasuh sekian lama.
Akidah merupakan perkara paling penting di dalam kehidupan manusia di dunia. Ini kerana ia menjadi penentu masa depan seorang hamba di akhirat, sama ada mendapat kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka. Segala amal kebajikan manusia tertakluk kepada akidah yang benar. Jika akidahnya sejahtera, maka amal baiknya yang lain akan dihitung sebagai pahala. Sebaliknya, jika akidahnya rosak dan menyeleweng, segala amal baiknya menjadi hampa dan tidak berguna. Tiada sebarang balasan kebajikan diberikan kepadanya.
Pendidikan Akidah hendaklah diberikan penekanan kepada setiap orang ketua keluarga, bahkan kepada para pemimpin Negara dan masyarakat. Ia hendaklah sentiasa ditingkatkan dengan perkataan baru dan semasa. Justeru, kita melihat Al-Quran sentiasa memberi penekanan dalam soal ini. Setiap halaman Al-Quran tidak akan lepas daripada menjelaskan persoalan akidah, walaupun ketika menceritakan kisah umat yang terdahulu mahupun dalam membahaskan ayat-ayat hukum-hakam.
Antara langkah yang perlu dilaksanakan adalah:
Pertama: Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak dan keluarga mendapat Pendidikan Akidah dengan sebaiknya. Setiap individu hendaklah sentiasa menasihati ahli keluarga dan rakan-rakan supaya taatkan Allah dan beriman dengan hari akhirat dalam setiap urusan kehidupan. Kita hendaklah meringankan lidah untuk menyebut hal-hal berkaitan balasan di akhirat.
Kedua: Institusi Pendidikan termasuk masjid perlu menggunakan pendekatan semasa dan terkini dalam mendidik masyarakat memantapkan akidah. Ini termasuklah mengaitkan Pengajaran Akidah dengan Penemuan-penemuan Sains yang terkini. Pendekatan ini akan lebih memudahkan pemahaman umat Islam dalam mengukuhkan keimanan mereka. Di samping itu hendaklah menitik-beratkan soal akidah dalam Sistem
Pendidikan, Media Massa dan Program-program Latihan, termasuk Kem-kem Motivasi dan lain-lain lagi.

Friday, July 8, 2011

Khutbah Jumaat 8 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "BAGAIMANA MEMBENTUK KELUARGA BERIMAN". Islam telah menetapkan bahawa keluarga adalah merupakan satu tempat pergantungan manusia untuk menjaga diri, menaungi dan mendapat ketenteraman serta kebahagiaan dalam sebuah kehidupan. Ianya merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Keluarga adalah merupakan suatu amanah daripada Allah S.W.T yang harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Anak-anak kita adalah dianggap sebagai amanah Allah S.W.T. dan suami atau bapa adalah merupakan orang yang berperanan dan bertanggungjawab untuk membimbing ahli keluarganya ke arah mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Ilmu agama dalam diri kita adalah benteng yang mampu menangkis segala cabaran dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ia juga menjadi panduan kepada kita agar tidak tersesat daripada menuju ke matlamat akhir kehidupan ini. Tanpa ilmu agama, sudah pasti hidup kita akan tersesat dan terumbangambing tanpa arah dan tujuan yang sebenar. Oleh kerana itu, tanggungjawab utama yang harus diberikan tumpuan oleh suami isteri selaku ibubapa dalam usaha membentuk keluarga beriman adalah dengan didikan agama yang secukupnya. Didikan agama ini pula mestilah menekankan perkara-perkara yang berikut:
Pertama :Penekanan kepada pendidikan Al-Quran, kerana ianya merupakan satu-satunya mukjizat yang dapat melembutkan dan membentuk jiwa manusia yang beriman.
Kedua :Penekanan terhadap amalan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana setiap sunnahnya adalah berlandaskan syariat Allah S.W.T.
Ketiga :Penekanan terhadap ilmu-ilmu aqidah dan akhlak yang menjelaskan perihal kehidupan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan aqidah yang benar sahaja dapat melahirkan sifat ikhlas ketika beribadah kepada Allah S.W.T.
Keempat :Penekanan terhadap ilmu feqah sama ada yang berkaitan dengan ibadah, muamalah mahupun siasah. Dengan ilmu feqah akan dapat menjelaskan dan memisahkan antara perkara yang hak dan batil, seterusnya dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kejahilan, kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah S.W.T.
Maka, marilah kita tunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita supaya terbentuk sebuah keluarga yang bahagia dan beriman kepada Allah S.W.T. Antaranya adalah seperti berikut:
Pertama : Ibubapa hendaklah menunjukkan disiplin diri yang baik di hadapan anak-anak terutamanya dalam soal-soal ibadah seperti solat dan ibadah lain. Sesungguhnya pengaruh ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk mendisiplinkan anak-anak.
Kedua : Hendaklah melayan setiap ahli keluarga dengan penuh sopan santun. Cara ini akan dapat menambat hati anak-anak dan seterusnya akan lebih mudah untuk diikuti. Hakikatnya sikap bersopan santun ini merupakan aset yang paling berharga untuk ditanamkan dalam diri
anak-anak.
Ketiga : Menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ibubapa yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga akan menyebabkan anak-anak menyisihkan diri daripada ibubapanya ataupun sebaliknya.

Kuliah Pengajian minggu ini

Kuliah Pengajian Minggu ini adalah seperti berikut:
9 Julai 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
10 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
12 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, July 1, 2011

khutbah Jumaat 1 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "ISRA’ DAN MI’RAJ: PERINGATAN KEPADA
MANUSIA” Bulan Rejab memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.; satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap terhadap Risalah Kenabian Baginda Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang dialami oleh Baginda dalam usahanya menyampaikan Risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika Baginda telah dipulaukan oleh kaumnya, Baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang disayanginya, bahkan Baginda juga telah dicederakan dan dilukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj.
Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra’ dan mi’raj ialah;
1- Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
2- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
3- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
4- Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah
tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
5- Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
6- Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging
orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.
Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allah SWT itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walau apapun maksud dan tujuan tersebut, kita yakin bahawa ke semuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaannya dengan apa yang telah digambarkan dalam Peristiwa Isra’ dan mi’raj. Sesungguhnya apa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan umatnya ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki diri pada setiap masa sebelum tibanya hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT; hari yang tiada manfaat baginya harta dan juga anak-pinak; hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allah SWT, iaitu hari perhitungan di Padang Mahsyar.

kuliah pengajian minggu ini

Pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
3 Julai 2011-Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato, Zakaria Jaafar. Kuliah Maghrib-Ustaz Badrul Hisham-Fqh. 5 Julai 2011 Kuliah Dhuha muslimat oleh Ustazah Junaidah jam 9.00 pagi. Kuliah hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad-selepas solat maghrib. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Tuesday, June 28, 2011

Ceramah Memperingati Peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad S.A.W



Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Intipati ceramah oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis ialah perlunya memperbanyakkan amal soleh seperti bersolat berjemaah di masjid, solat di awal waktu, banyakkan menunaikan solat sunat malam serta membaca Al-Quran agar kita sentiasa dibawah pengawasan malaikat dengan kehendak Allah s.w.t. Kedua perlu sentiasa memakmurkan masjid.

Ceramah Memperingati Peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad S.A.W

Hari : Selasa 28 Jun 2011 (26 Rejab 1432H)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat: Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
Penceramah : Ustaz Ahmad Asri Lubis
Mantan Pensyarah di UKM & KUIS
Penceramah Motivasi di Negara Brunei & Bandar Baru Bangi, Selangor.
Muslimin & Muslimat dijemput Hadir

Saturday, June 25, 2011

khutbah Jumaat 24 Jun 2011

KHUTBAH SEMPENA ULANGTAHUN AN-NAKBAH KE - 63. Hari ini marilah kita memperingati satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Peristiwa tersebut dikenali sebagai 'Nakbah' yang membawa maksud 'Mala Petaka Besar'. Secara rasminya kemuncak Peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 Bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya dikebarkan bendera ' The Star of David' dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.
Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari Kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi tersebut menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanahair mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah melebihi 5 juta orang dan sehingga kini mereka tanpa mendapat sebarang pembelaan termasuklah daripada Negara-negara umat Islam.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disusuli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917 direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan yahudi oleh Resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas yahudi yang
merampas tanahair rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.
Pengisytiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul-Mukaddis Timur di mana terletaknya Masjidil-Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjidil-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga kehari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid.
Mereka menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil di bawahnya. Kesemua peristiwa ini gagal menggerakkan hati nurani umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin Al-Ayyubi ketika Baitul-Mukaddis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik, tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh regim zionis yahudi?.
Sebuah hadith daripada Mu'az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan dengan maksudnya:
"Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan Asy-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai Asy-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul-Mukaddis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan".
Hadith daripada Abi Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w.
mengingatkan dengan maksudnya: " Sekumpulan dari kalangan umatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya; "Di manakah mereka hai Rasulullah?. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Di Baitul-Mukaddis dan kawasan sekelilingnya".
(Riwayat Abdullah bin Ahmad dan At-Tabarani)

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
26 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
28 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah umum-sempena Isra' dan Mikraj. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Friday, June 10, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
11 Jun 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
12 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
14 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

khutbah Jumaat 10 Jun 2011

Khutbah Jumaat minggu ini bertajuk JENAYAH QAZAF ADALAH DOSA BESAR.  Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.
Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat. Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
”Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya”.
(Riwayat At-Thabrani).
Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya mereka yang melakukan jenayah qazaf telah melakukan perbuatan yang haram dan termasuk tujuh jenis dosa besar. Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu;
Pertama : Dari segi fizikalnya, boleh dikenakan lapan puluh sebatan.
Kedua : Dari segi moral dan sosialnya, akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.
Ketiga : Dari segi keagamaannya akan tergolong sebagai orang yang fasiq.
Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membersihkan diri kita dari sifat-sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T. Tingkatkanlah kefahaman kita mengenai Islam dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid dan surau. Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan, institusi perundangan dan masyarakat hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya kerana ruang dan peluang telah tersedia. Insya Allah kita akan mendapat pemeliharaan serta pertolongan daripada Allah S.W.T.

Friday, June 3, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
5 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Badrul Hisham-kuliah Feqah
7 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Thursday, May 26, 2011

Forum Perdana Ehwal Islam 1432H/2011M

"Bersama Mencipta Negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur"

Tarikh: 27 Mei 2011 (Jumaat)
Masa : 7.00 malam
Tempat : Masjid Pulau Meranti Puchong

Ahli Panel: Y.bhg Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakry
                    Y.bhg Dr Azhar Yaacob
Moderator: Y.B Dato' Hj Hasan Hj Mohamed Ali
Anjuran: JAIS dan Majlis Perbandaran Sepang 

Siri Pemantapan Rohani "Kalaulah ku tahu..."

Tarikh:
30 Mei 2011 hingga 1 Jun 2011 (berumur 7-12 tahun)
6 Jun 2011 hingga 8 Jun 2011 (berumur 13-17 tahun)

Masa: 8.00 pagi hingga 5.00 petang (tidak bermalam)
Penyertaan: Terbuka kepada lelaki dan perempuan
Tempat : Masjid As-Syakirin, Kampung Jenderam Hilir
Yuran: RM20
Pakaian:
Lelaki: Baju Melayu bersongkok/berkupiah
Perempuan; Baju Kurung
Aktiviti-aktiviti tambahan menarik: kelas memasak, kraftangan, seni khat, kesenian Islam...

Hubungi: Ustazah Junaidah Awang 012-2696468
                 Hj Muhamad Zamani 019-3727846

kuliah pengajian minggu ini

28 Mei 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
29 Mei 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah.
31 Mei 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Saturday, May 21, 2011

khutbah Jumaat 20 Mei 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "Hikmah Zakat". Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Islam didirikan di atas lima prkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram bagi sesiapa yang berkemampuan”. (Muttafaqun ’Alaih). Zakat bukan hanya sekadar ibadah semata-mata. Ia adalah amalan yang dapat mengikat hubungan antara seorang hamba dengan pencipta-Nya dan membentuk hubungan antara seorang individu dengan anggota masyarakat yang lain.
Zakat adalah rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Rahmat ini bukan hanya dapat dirasai oleh penerima zakat, bahkan turut dikongsi bersama oleh pembayar zakat dan umat Islam seluruhnya. Sejarah telah membuktikan bahawa, negara Islam pernah merasai nikmat kamakmuran dan kesejahteraan hasil daripada sistem zakat seperti yang telah berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan zaman kegemilangan Islam. orang yang enggan bersedekah dan berzakat adalah ciri-ciri manusia yang akan dihumbankan oIeh Allah SWT ke dalam api neraka. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Muddaththir ayat 42 - 44: Maksudnya: “(Ahli-ahli syurga bertanya kepada ahli neraka): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) saqar?” Ahli neraka menjawab: "(Dahulu) kami tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang sembahyang, dan kami juga tidak pernah memberi makan (bersedekah) kepada orang-orang miskin".
Selain itu juga, zakat dapat membersihkan dan memelihara harta. Sesungguhnya, kita tidak mampu memelihara harta kita dari kejahatan orang lain melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Prof. Dr . Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan, setiap manusia sangat berhajat kepada keperluan asasi hidup seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Ianya diperlukan agar manusia mampu hidup menjadi khalifah dan hamba Allah dengan sempurna . OIeh kerana tidak semua manusia mampu memenuhi keperluan ini, maka
Allah SWT mensyariatkan zakat agar umat Islam dapat saling bantu-membantu dalam memenuhi keperluan hidup mereka. Dengan berzakat, orang kaya dapat memberikan sebahagian daripada hartanya kepada fakir miskin. Dengan zakat juga, orang miskin dapat merasai nikmat kebahagiaan hidup serta merasai wujudnya tangan-tangan si kaya yang pemurah, yang dapat membantunya untuk merasai kesejahteraan hidup.

Thursday, May 19, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
20 Mei 2011 (Jumaat) Selepas solat Maghrib, kuliah oleh Tuan guru Hj Hafidz Selamat-Kitab Tuhfah Arroghibin.
22 Mei 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
24 Mei 2011 (Selasa) Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.

Saturday, May 14, 2011

kuliah pengajian minggu ini

kuliah pengajian minggu ini adalah
14 Mei 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
15 Mei 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Badrul Hisham-kuliah feqh
17 Mei 2011 (Selasa) Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Saturday, May 7, 2011

intisari kuliah subuh 8 Mei 2011

Pemimpin yang adil

Surat Hasan al-Basri kpd Umar Abdul Aziz.

Sebaik sahaja diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menulis sepucuk surat kepada Hasan Al- Basri, seorang ulamak yang berwibawa dan hebat ketika itu. Dalam surat tersebut baginda meminta pandangan Hasan Al- Basri mengenai soal kepimpinan dan sifat-sifat seorang pemimpin. Permintaan itu ditunaikan dgn beliau menulis sepucuk surat kepada Umar yang berbunyi;

"Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya Allah telah menjadikan pemimpin yang adil itu sebagai penahan mana yang condong, tempat berlindung orang yang teraniayamemperbaiki mana yang rosakmenjadi kekuatan bagi yang lemahmembela orang yang tertindas dan tempat mengadu bagi orang yang ditimpa malang.

Pemimpin yang adil wahai Amirul Mukminin, adalah umpama pengembala yang penyayang mengembala unta yang menyayanginya, menghalaunya ke padang ragut yang subur, menjauhi ternakannya dari tebing yang curam, mengawasinya agar tidak dibaham oleh binatang buas, menjaganya supaya tidak mati kesejukan atau kepanasan.

Pemimpin yang adil wahai Amirul Mukminin, adalah umpama seorang ayah yang mengawasi anak-anaknya. Dia mengasuh mereka pada waktu kecil dan mendidik meraka ketika besar. Selagi si ayah itu masih hidup, maka segala usahanya adalah demi anak-anak. Manakala setelah dia mati, segala harta peninggalannya adalah untuk mereka.

Pemimpin yang adil wahai Amirul Mukminin, adalah umpama seorang ibu yang menyayangi anaknya. Dia mengandungkan anak itu dengan penuh keperitan dan melahirkannya dengan penuh kesakitan. Pada waktu kecil, anaknya dibelai dan diasuh sehingga matanya tidak lelap kerana menjaga anak itu. Jika anaknya sihat dia berasa sukacita. Jika anaknya mengadu sakit hatinya gelisah.

Pemimpin yang adil wahai Amirul Mukminin, adalalah seperti seorang penjaga anak yatim yang menerima wasiat ayahnya sebelum wafat. Pemimpin yang adil umpama tempat menyimpan barang bagi yang miskin dan yatim. Yang kecil diasuhnya dan yang besar diuruskan hal perbelanjaaanya.

Pemimpin yang adil wahai Amirul Mukminin, adalah orang yang berdiri di batasan antara Allah dan hambanya. Kalam Allah didengarnya, disampaikan kepada rakyat. Wajah Allah yang dilihatnya dijelaskan kepada rakyatnya. Dia berpegang pada tali Allah lalu dengan itu dia memimpin rakyatnya.

Justeru itu wahai Amirul Mukminin, sepanjang tuanku memegang amanah Allah itu, janganlah bertindak seperti seorang khadam yang dipercayai oleh tuannya untuk menjaga harta beliau dan kaum kerabatnya, lalu dimusnahkan segala harta itu. Akibatnya tuannya dilantar miskin bersama kaum kerabatnya kerana perbuatan itu.

Selain itu, hendaklah tuanku ingat akan kematian dan apa yang berlaku selepas kematian. Ingatlah, ketika tuanku menghadapi kematian hanya sedikit yang menjadi pembantu dan tiada siapa yang akan menolong. Oleh itu, persiapkanlah bekal untuk mati dan untuk apa yang akan berlaku selepas kematian.

Ingatlah wahai Amirul Mukminin, alangkah dahsyatnya nanti ketika isi kubur dibongkar, segala isi dada dikeluarkan dan segala rahsia akan dibongkar, kita akan menyaksikan segala-galanya dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besar semuanya akan tertulis.

Oleh itu wahai Amirul Mukminin, sementara tuanku masih dapat berfikir secara tenang, insaflah sebelum ajal datang, sebelum terhenti segala impian. Janganlah tuanku diperdaya oleh orang-orang yang beroleh kemewahan dunia padahal kemewahan itu adalah di atas kesengsaraan tuanku sendiri. Mereka menikmati makanan yang enak di dunia tetapi tuanku kehilangan nikmat di akhirat. Usah dipandang dan dipercayai kekuatan nikmat, kekuatan tuanku hari ini tetapi ingatlah adakah masih ada kekuatan dan kudrat tuanku nanti, padahal ketika itu tuanku telah terkurung dalam belenggu kematian, 
berdiri di hadapan Allah di dalam satu majlis yang dihadiri oleh para malaikat dan roh para anbia' serta rasul. Pada ketika itu semua kan sujud ke bumi lantaran hebatnya al-Haiyul Qaiyum, Yang hidup dan Yang Maha Berkuasa.

Wahai Amirul Mukminin, meski pun nasihatku ini tidak sehebat orang yang terdahulu, namun kasihku terhadap tuanku tidak pernah surut. Justeru itu terimalah surat dan nasihatku ini. Lihatlah ia umpama semangkuk ramuan ubat yang diberikan oleh seorang yang amat mengasihi sahabat yang sakit. Walaupun ubat itu begitu pahit, namun dipaksa sehebat itu meminumnya kerana mengharapkan sahabatnya segera sembuh."