Friday, July 15, 2011

Khutbah Jumaat 15 Julai 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "Pendidikan Aqidah menangkis gejala Murtad" Detik tenat dan nazak kematian merupakan saat perpisahan seseorang dengan keluarganya, hartanya dan dunia fana' ini seluruhnya. Saat seperti ini, biasanya digunakan oleh orang yang hampir mati untuk menyampaikan pesanan terakhir atau wasiat penting. Biasanya wasiat yang disampaikan adalah berkenaan harta peninggalan, tanah pusaka atau hak-hak yang belum selesai. Sebagai keluarga muslim, barangkali kita beranggapan bahawa persoalan agama, akidah dan ibadah sudah dikira selesai. Lalu fokus diberi kepada soal lain melibatkan hal-hal keluarga atau harta.
Namun, Al-Quran mengajar kita supaya persoalan akidah diberi keutamaan, walaupun dalam keluarga seorang nabi; nabi Yaakub a.s. Bahkan, bapanya Ishak dan datuknya Ibrahim juga adalah nabi. Logiknya, dalam sebuah keluarga nabi atau ulama', didikan akidah sudah selesai di peringkat awal atau kanak-kanak lagi. Apatah lagi keluarga nabi, yang diasuh oleh bapa dan datuknya yang juga nabi. Bahkan, salah seorang anak nabi Yaakub a.s. juga adalah nabi, nabi Yusuf a.s. Namun, soal akidah masih ditekankan di saat akhir hidup nabi Yaakub a.s. Tentunya juga, di saat anak-anak itu sudah dewasa dan sudah diasuh sekian lama.
Akidah merupakan perkara paling penting di dalam kehidupan manusia di dunia. Ini kerana ia menjadi penentu masa depan seorang hamba di akhirat, sama ada mendapat kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka. Segala amal kebajikan manusia tertakluk kepada akidah yang benar. Jika akidahnya sejahtera, maka amal baiknya yang lain akan dihitung sebagai pahala. Sebaliknya, jika akidahnya rosak dan menyeleweng, segala amal baiknya menjadi hampa dan tidak berguna. Tiada sebarang balasan kebajikan diberikan kepadanya.
Pendidikan Akidah hendaklah diberikan penekanan kepada setiap orang ketua keluarga, bahkan kepada para pemimpin Negara dan masyarakat. Ia hendaklah sentiasa ditingkatkan dengan perkataan baru dan semasa. Justeru, kita melihat Al-Quran sentiasa memberi penekanan dalam soal ini. Setiap halaman Al-Quran tidak akan lepas daripada menjelaskan persoalan akidah, walaupun ketika menceritakan kisah umat yang terdahulu mahupun dalam membahaskan ayat-ayat hukum-hakam.
Antara langkah yang perlu dilaksanakan adalah:
Pertama: Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak dan keluarga mendapat Pendidikan Akidah dengan sebaiknya. Setiap individu hendaklah sentiasa menasihati ahli keluarga dan rakan-rakan supaya taatkan Allah dan beriman dengan hari akhirat dalam setiap urusan kehidupan. Kita hendaklah meringankan lidah untuk menyebut hal-hal berkaitan balasan di akhirat.
Kedua: Institusi Pendidikan termasuk masjid perlu menggunakan pendekatan semasa dan terkini dalam mendidik masyarakat memantapkan akidah. Ini termasuklah mengaitkan Pengajaran Akidah dengan Penemuan-penemuan Sains yang terkini. Pendekatan ini akan lebih memudahkan pemahaman umat Islam dalam mengukuhkan keimanan mereka. Di samping itu hendaklah menitik-beratkan soal akidah dalam Sistem
Pendidikan, Media Massa dan Program-program Latihan, termasuk Kem-kem Motivasi dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment