Friday, July 1, 2011

khutbah Jumaat 1 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "ISRA’ DAN MI’RAJ: PERINGATAN KEPADA
MANUSIA” Bulan Rejab memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.; satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap terhadap Risalah Kenabian Baginda Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang dialami oleh Baginda dalam usahanya menyampaikan Risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika Baginda telah dipulaukan oleh kaumnya, Baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang disayanginya, bahkan Baginda juga telah dicederakan dan dilukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj.
Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra’ dan mi’raj ialah;
1- Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
2- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
3- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
4- Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah
tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
5- Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
6- Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging
orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.
Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allah SWT itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walau apapun maksud dan tujuan tersebut, kita yakin bahawa ke semuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaannya dengan apa yang telah digambarkan dalam Peristiwa Isra’ dan mi’raj. Sesungguhnya apa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan umatnya ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki diri pada setiap masa sebelum tibanya hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT; hari yang tiada manfaat baginya harta dan juga anak-pinak; hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allah SWT, iaitu hari perhitungan di Padang Mahsyar.

No comments:

Post a Comment