Friday, July 8, 2011

Khutbah Jumaat 8 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "BAGAIMANA MEMBENTUK KELUARGA BERIMAN". Islam telah menetapkan bahawa keluarga adalah merupakan satu tempat pergantungan manusia untuk menjaga diri, menaungi dan mendapat ketenteraman serta kebahagiaan dalam sebuah kehidupan. Ianya merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Keluarga adalah merupakan suatu amanah daripada Allah S.W.T yang harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Anak-anak kita adalah dianggap sebagai amanah Allah S.W.T. dan suami atau bapa adalah merupakan orang yang berperanan dan bertanggungjawab untuk membimbing ahli keluarganya ke arah mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Ilmu agama dalam diri kita adalah benteng yang mampu menangkis segala cabaran dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ia juga menjadi panduan kepada kita agar tidak tersesat daripada menuju ke matlamat akhir kehidupan ini. Tanpa ilmu agama, sudah pasti hidup kita akan tersesat dan terumbangambing tanpa arah dan tujuan yang sebenar. Oleh kerana itu, tanggungjawab utama yang harus diberikan tumpuan oleh suami isteri selaku ibubapa dalam usaha membentuk keluarga beriman adalah dengan didikan agama yang secukupnya. Didikan agama ini pula mestilah menekankan perkara-perkara yang berikut:
Pertama :Penekanan kepada pendidikan Al-Quran, kerana ianya merupakan satu-satunya mukjizat yang dapat melembutkan dan membentuk jiwa manusia yang beriman.
Kedua :Penekanan terhadap amalan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana setiap sunnahnya adalah berlandaskan syariat Allah S.W.T.
Ketiga :Penekanan terhadap ilmu-ilmu aqidah dan akhlak yang menjelaskan perihal kehidupan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan aqidah yang benar sahaja dapat melahirkan sifat ikhlas ketika beribadah kepada Allah S.W.T.
Keempat :Penekanan terhadap ilmu feqah sama ada yang berkaitan dengan ibadah, muamalah mahupun siasah. Dengan ilmu feqah akan dapat menjelaskan dan memisahkan antara perkara yang hak dan batil, seterusnya dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kejahilan, kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah S.W.T.
Maka, marilah kita tunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita supaya terbentuk sebuah keluarga yang bahagia dan beriman kepada Allah S.W.T. Antaranya adalah seperti berikut:
Pertama : Ibubapa hendaklah menunjukkan disiplin diri yang baik di hadapan anak-anak terutamanya dalam soal-soal ibadah seperti solat dan ibadah lain. Sesungguhnya pengaruh ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk mendisiplinkan anak-anak.
Kedua : Hendaklah melayan setiap ahli keluarga dengan penuh sopan santun. Cara ini akan dapat menambat hati anak-anak dan seterusnya akan lebih mudah untuk diikuti. Hakikatnya sikap bersopan santun ini merupakan aset yang paling berharga untuk ditanamkan dalam diri
anak-anak.
Ketiga : Menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ibubapa yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga akan menyebabkan anak-anak menyisihkan diri daripada ibubapanya ataupun sebaliknya.

No comments:

Post a Comment