Saturday, October 1, 2011

khutbah Jumaat 30 September 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini "ISLAM PADA AKHIR ZAMAN" Allah SWT memberi peringatan kepada manusia yang berbangga dengan bilangannya dan pengikutnya yang ramai sedangkan mereka itu akan menyesatkannya dari jalan yang benar. Seringkali kita mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulankumpulan tertentu yang mendabik dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita. Jika kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada di jalan yang salah. pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka yang menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak takut kepada ancaman.
Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu?. Rasulullah s.a.w menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa”. (Riwayat Muslim)
Marilah sama-sama kita muhasabah diri, melihat sumbangan masing-masing terhadap agama yang kita cintai ini. Berapa ramaikah di kalangan kita yang mempunyai sifat ghuraba’ (asing) sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.?. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menegur dan mencegah kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat? Berapa ramai di kalangan kita yang berani untuk mempertahankan Islam, memperjuangkannya dan menegakkannya. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menahan celaan dan tohmahan kerana mempertahankan Islam?
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Moga-moga dengan kembalinya kita kepada ajaran Islam yang sebenar akan menjadikan kita umat yang bermotivasi, berinovasi dan memiliki keazaman yang tinggi untuk kembali semula menjadi umat yang cemerlang

No comments:

Post a Comment