Friday, June 10, 2011

khutbah Jumaat 10 Jun 2011

Khutbah Jumaat minggu ini bertajuk JENAYAH QAZAF ADALAH DOSA BESAR.  Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.
Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat. Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
”Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya”.
(Riwayat At-Thabrani).
Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya mereka yang melakukan jenayah qazaf telah melakukan perbuatan yang haram dan termasuk tujuh jenis dosa besar. Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu;
Pertama : Dari segi fizikalnya, boleh dikenakan lapan puluh sebatan.
Kedua : Dari segi moral dan sosialnya, akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.
Ketiga : Dari segi keagamaannya akan tergolong sebagai orang yang fasiq.
Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membersihkan diri kita dari sifat-sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T. Tingkatkanlah kefahaman kita mengenai Islam dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid dan surau. Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan, institusi perundangan dan masyarakat hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya kerana ruang dan peluang telah tersedia. Insya Allah kita akan mendapat pemeliharaan serta pertolongan daripada Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment