Saturday, June 25, 2011

khutbah Jumaat 24 Jun 2011

KHUTBAH SEMPENA ULANGTAHUN AN-NAKBAH KE - 63. Hari ini marilah kita memperingati satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Peristiwa tersebut dikenali sebagai 'Nakbah' yang membawa maksud 'Mala Petaka Besar'. Secara rasminya kemuncak Peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 Bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya dikebarkan bendera ' The Star of David' dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.
Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari Kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi tersebut menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanahair mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah melebihi 5 juta orang dan sehingga kini mereka tanpa mendapat sebarang pembelaan termasuklah daripada Negara-negara umat Islam.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disusuli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917 direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan yahudi oleh Resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas yahudi yang
merampas tanahair rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.
Pengisytiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul-Mukaddis Timur di mana terletaknya Masjidil-Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjidil-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga kehari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid.
Mereka menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil di bawahnya. Kesemua peristiwa ini gagal menggerakkan hati nurani umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin Al-Ayyubi ketika Baitul-Mukaddis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik, tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh regim zionis yahudi?.
Sebuah hadith daripada Mu'az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan dengan maksudnya:
"Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan Asy-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai Asy-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul-Mukaddis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan".
Hadith daripada Abi Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w.
mengingatkan dengan maksudnya: " Sekumpulan dari kalangan umatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya; "Di manakah mereka hai Rasulullah?. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Di Baitul-Mukaddis dan kawasan sekelilingnya".
(Riwayat Abdullah bin Ahmad dan At-Tabarani)

No comments:

Post a Comment