Thursday, November 10, 2011

khutbah Jumaat 11 November 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini "Bersama-sama bermujahadah memerangi dadah" Krisis dan kemelut sosial  Negara berada pada tahap yang amat membimbangkan. Antara masalah yang dihadapi adalah penyalahgunaan dadah, penagihan, pengedaran dan penyeludupannya mengepalai senarai gejala-gejala negatif tersebut seolah-olah sudah hilang jalan penyelesaiannya.  Kita semua sedar bahawa dadah tersenarai sebagai musuh nombor satu negara yang telah mengorbankan  banyak jiwa, tenaga dan harta negara. Dadah ialah apa-apa jua bahan kimia, sama ada asli atau tiruan, apabila dimasuk dan diresapkan ke dalam tubuh badan dengan apa cara sekalipun, disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi jasmani, rohani dan tingkah laku. Penggunaan dadah yang berterusan akan membawa padah kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, Negara dan agama. Kesan seseorang yang melibatkan diri dalam penyalahgunaan najis dadah sama ada penagihan, pengedaran  atau penyeludupan  akan sanggup melakukan apa sahaja seperti mencuri, menyamun, membunuh, memperhambakan diri, menggadai maruah dan sanggup dipenjara malah dibunuh sekalipun. 
Pengambilan atau penyalahgunaan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqiaskan kepada arak. Dadah termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan dan yang menghilangkan akal. Arak dan dadah menatijahkan kesan yang sama iaitu memabukkan atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat yang mengambilnya. Atas  alasan inilah hukumnya haram.

Tiga sebab utama pengharaman dadah iaitu;
Pertama : Dadah bukan sahaja membawa kepada mabuk, tetapi juga membawa kepada hilangnya akal, dari itu ia adalah haram di sisi Islam. Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran.
Kedua : Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan penagih mati lebih awal. Islam sangat realistik  dan tujuan syarak yang lima itu ialah menjaga akal, harta, nyawa, agama dan keturunan.

Justeru itu pengharaman dadah berlaku kerana;

Pertama : Dadah boleh menghancurkan rumahtangga. Sekiranya individu yang terlibat dengan dadah itu adalah ketua keluarga, nescaya keadaan akan menjadi lebih parah, nafkah dan didikan keluarga terabai. Ada suami yang memaksa isteri melacurkan diri malah ada ayah yang memaksa anaknya memberikan wang kepadanya untuk membeli dadah.
Kedua : Dadah boleh mencetuskan perbuatan jenayah.Jenayah sememangnya ada kaitan langsung dengan penyalahgunaan dadah dalam semua bentuknya,  hilang punca kewarasan  diri dan akhirnya mendorong kepada mencuri, merampas, memeras ugut, merompak dan membunuh.
Ketiga : Dadah merosakkan diri sendiri. Penagih yang sudah sebati dengan ketagihan dadah amat sukar dipulihkan semula. Mereka hilang daya ketahanan diri, kotor, busuk, jijik dan yang paling bahaya ialah boleh menjadi hilang ingatan, gila dan akhirnya mati kerana najis dadah.
Keempat : Dadah boleh membawa penyakit. Penagih mudah terdedah kepada penyakit maut yang  sangat ditakuti terutamanya HIV atau  AIDS menerusi perkongsian jarum suntikan dan boleh pula memindahkan penyakit itu kepada orang lain yang tidak bersalah.
Kelima : Dadah mendorong manusia untuk membunuh diri.Islam mengharamkan membunuh diri dengan apa jua cara dan sebab sekalipun. Pengambilan dadah boleh membawa kepada kematian.

No comments:

Post a Comment