Saturday, July 23, 2011

khutbah Jumaat 22 Julai 2011

Tajuk Khutbah Jumaat minggu ini "Sambutlah Ramadhan". Dengan penuh rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T, kita mengalu-alukan kedatangan ramadhan yang akan menjelang tiba beberapa hari lagi. Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan rahmat, bulan kebajikan, bulan maghfirah dan InsyaAllah akan
membebaskan kita daripada api neraka sekiranya kita benar-benar melaksanakan segala tuntutannya dengan penuh ketaatan. Setiap muslim mukmin yang muttaqi amat gembira dengan kedatangannya, sebaliknya
kedatangannya amat tidak disenangi pula oleh mereka yang lemah imannya.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:
“Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun”. (Riwayat At-Tabrani)
Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan
yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:
“Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa”. (Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;
“Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab”. (Riwayat Al-Muwatta’)
Diharap tidak ada di kalangan umat Islam yang melanggar perintah Allah SW.T supaya berpuasa. Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor telah menyebutkan bahawa:
“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau
dihisap serta-merta dalam waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya”.

No comments:

Post a Comment