Thursday, March 3, 2011

Khutbah Jumaat 4 Mac 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "PELUANG HIDUP SEBELUM MATI". Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kita tentang kepentingan mengejar peluang yang diberikan dalam hidup. Kita diingatkan agar memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Ternyata kurniaan peluang hidup sebelum mati adalah peluang yang paling bernilai bagi seorang hamba Allah di dunia ini. Sesungguhnya kematian yang pasti itu adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita untuk membuktikan pengabdian kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

“Dialah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya, Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.

Justeru, walaupun di tahap mana usia kita, ruang kehidupan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal soleh sebagai bekalan untuk bertemu Allah S.W.T. Apatah lagi di ketika usia meniti senja, maka sewajarnya kesempatan ini digunakan sebaik mungkin sebagai bukti syukur kita kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan bonus usia kepada kita selaku hamba-Nya.

Oleh itu rumusan khutbah adalah seperti berikut:
Pertama : Pengurniaan usia yang panjang adalah nikmat yang perlu dihargai.
Kedua : Meningkatkan usaha dalam menuntut ilmu dan beramal soleh serta menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.
Ketiga : Mencari rakan yang baik dan hidup dalam suasana yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan mentaati perintah-Nya.
Keempat : Segera bertaubat mengikut landasan perjuangan hidup Islam dan berdoa agar kekal dalam hidayah Allah hingga ke akhir usia.
Kelima : Melibatkan diri dengan perkara-perkara amar maaruf nahi mungkar serta memahamkan syariat Islam dalam masyarakat.
Keenam : Mengasihi manusia agar Allah dan para malaikat mengasihi kita.

No comments:

Post a Comment