Thursday, March 17, 2011

khutbah Jumaat 18 Mac 2011

Tajuk Khutbah"Rokok: setiap sedutan menyerupai satu sedutan maut" Masa kini, merokok masih menjadi tabiat sebahagian masyarakat kita,sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila masyarakat mudah terpedaya dengan budaya asing terutamanya yang dipaparkan melalui media massa. Di samping ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru tabiat buruk adalah sesuatu yang kian menguasai kaum muslimin di zaman ini. Fatwa negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam kerana ia mendatangkan kemudharatan.


Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan. Manakala Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir dan Al-Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya haram kerana ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi nafkah kepada keluarganya. Bahkan, kebanyakan ulama-ulama semasa seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan Dr. Abdul Jalil Shalabi bersepakat menyatakan bahawa merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih sepuluh ribu kematian setahun; tiga puluh peratus daripadanya disebabkan oIeh sepuluh jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser mulut, kanser tekak, kanser pundi kencing, kerosakan buah pinggang dan kanser perut. Lima puluh peratus lagi kematian berpunca dari sakit jantung dan strok. Bahkan menurut kajian, lebih seratus ribu (100,000) perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan pelbagai penyakit kronik. Lebih penting lagi, negara mengalami kerugian kira-kira dua puluh bilion ringgit setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Jadikanlah hari ini sebagai hari yang baru dan nafas yang segar tanpa rokok. Semoga niat, keazaman dan usaha kita akan menjadi contoh dan ikutan terhadap anak-anak kita dan mendapat perhatian Allah SWT seterusnya doa dipanjatkan agar Allah SWT menguatkan iman dan semangat kita melawan ketagihan merokok yang merosakkan itu.

No comments:

Post a Comment