Friday, March 25, 2011

khutbah Jumaat 25 Mac 2011

Marilah bersama kita hayati seruan taqwa yang setiap minggu kita dengari, dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh sabar dan meninggalkan segala yang ditegah yang berupa maksiat dan kemungkaran. Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan tajuk ”Tuntutan Amar Makruf Nahi Mungkar”. Satu tanggungjawab yang perlu disedari, difahami dan dilaksanakan oleh setiap individu muslim demi menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan umat sejagat. Makruf bermaksud kebaikan dan ketaatan manakala Mungkar bermaksud kejahatan dan kemaksiatan. Maka ungkapan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini bermaksud ”Menyuruh melakukan kebaikan dan Mencegah Kemungkaran.” Tanggungjawab melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini meliputi tanggungjawab setiap individu muslim mengikut tahap tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya. Untuk melaksanakan tugas yang berat ini, hendaklah dijalankan secara berjemaah atau berkelompok dalam masyarakat Islam. Tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini wajib dilaksanakan.

Kita lupa bahawa sikap tidak peduli ini dan kegagalan melaksanakan tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar sebenarnya mengundang bencana dalam hidup kita, menjemput kemurkaan Allah yang Maha Keras seksaan-Nya. Marilah kita renungi dan mengambil iktibar akibat dan bencana yang berlaku pada kumpulan umat manusia yang meninggalkan tuntutan ini. Antaranya:-
Pertama :
Laknat Allah dan Kemurkaan-Nya. Insafilah kisah Bani Israel yang dilaknat oleh Allah seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Maidah ayat 78-79. bermaksud ”Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah (doa) Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruka apa Yang mereka telah lakukan.”
Kedua : Tidak mendapat pengiktirafan sebagai muslim sebenar. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ”Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua dan tidak pula menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Riwayat At-Tirmizi)
Ketiga : Hilang kedamaian hidup dan dikuasai penguasa yang zalim. Maka wajar kita mengambil peringatan agar sentiasa mempertahan dan mengajak kepada kebenaran walaupun terpaksa menghadapi tentangan daripada masyarakat. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud; ”Berkatalah benar walau dihadapan penguasa yang zalim”.
Keempat : Berlaku malapetaka dan doa tidak lagi diperkenankan. Hakikat ini pernah disebut  sebuah hadis daripada Hudzaifah bin Al-Yaman bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;  ”Demi jiwaku ditangan-Nya, hendaklah kamu terus menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak dibimbangi Allah akan mengutuskan satu azab ke atas kamu kerananya. Kemudian jika kamu berdoa kepada-Nya, tidak pula akan diperkenankan doamu itu.” (Riwayat At-Tirmizi).
Kesimpulannya, marilah kita semua sama-sama berganding bahu mencegah perbuatan mungkar mengikut kemampuan dan kuasa yang ada. Penglibatan ini juga merangkumi semua golongan seperti JKK, pegawai masjid, pegawai-pegawai, guru-guru dan ibubapa yang bertindak atas nama Islam. Di samping itu tugas berdakwah hendaklah disuburkan di kalangan umat Islam sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.

No comments:

Post a Comment