Thursday, March 10, 2011

khutbah Jumaat 11 Mac 2011

Tajuk khutbah “MEMBINA GENERASI” Saban hari kita dipertontonkan dengan pelbagai masalah sosial. Sebutlah apa sahaja kita akan dapat mengetahuinya melalui media massa sama ada di kaca televisyen, skrin komputer, paparan akhbar, majalah dan lain-lain. Seolah-olah tiada petanda bahawa masalah ini akan berkurangan, jauh sekali untuk dihapuskan. Setiap hari ada sahaja berita mengenai penipuan, rasuah, penderaan, rompakan, membunuh, mencabul, rogol, buang bayi, dan sebagainya.

Apakah mereka yang melakukan perbuatan jahat ini tidak pernah terdidik? Kalau pernah belajar dan bersekolah tidakkah mereka telah diberi kefahaman tentang keburukan gejala ini dan kesannya terhadap diri, masyarakat dan negara. Bahkan keburukan yang akan dirasai bukan sahaja di dunia malah lebih teruk di akhirat nanti. Mungkin juga ketika bersekolah dulu, mereka tergolong dari pelajar cemerlang yang nama mereka pernah menghias halaman akhbar dalam mengharumkan nama keluarga, sekolah dan negara.

Setiap anggota masyarakat tanpa mengira pangkat dan fahaman politik perlu tampil memberikan sumbangan berupa buah fikiran dan tenaga ke arah membendung dan mengawal gejala sosial daripada terus berlaku dan berleluasa. Kita hendaklah berusaha menyelamatkan golongan yang telah tewas dan hanyut dalam gelombang gelora fasad dan mungkar. Mereka terdorong melakukan kemungkaran kerana pengaruh sebaran media massa tanpa tapisan yang berleluasa. Lantaran itu mereka jadi lalai, lagho dan leka. Mereka selesa membuang masa, berfoya-foya, tenggelam dalam arus kebejatan moral yang ditaja oIeh para perosak yang memakai berbagai nama antaranya; hak asasi, kebebasan, malam amal dan macam-macam lagi. Ke mana hilangnya sikap amanah, istiqamah, sabar, ikhlas, jati diri, wibawa, pengorbanan, perjuangan, daya tahan dan daya saing.

Kesimpulan daripada khutbah ini ialah;
1. Umat Islam perlu memiliki jiwa merdeka di samping membentuk generasi yang berkualiti .
2. Kuantiti umat dan generasi baru hendaklah dibentuk dan diperkukuh dengan iman dan pegangan Islam yang murni dan tulen.
3. Mereka hendaklah dididik menjadi insan mujahid, ikhlas, amanah, jujur, bertangggungjawab, berintegriti, berpandangan jauh dan mempunyai daya bersedia untuk masa depan.
4. Generasi yang dapat bekerjasama, bergabung tenaga untuk menyelesaikan berbagai masalah.
5. Umat Islam perlu bersatu membanteras kemurtadan, kezaliman, kemunafiqan, rasuah, salahlaku dan sikap khianat.

No comments:

Post a Comment