Thursday, March 10, 2011

khutbah Jumaat 11 Mac 2011

Tajuk khutbah “MEMBINA GENERASI” Saban hari kita dipertontonkan dengan pelbagai masalah sosial. Sebutlah apa sahaja kita akan dapat mengetahuinya melalui media massa sama ada di kaca televisyen, skrin komputer, paparan akhbar, majalah dan lain-lain. Seolah-olah tiada petanda bahawa masalah ini akan berkurangan, jauh sekali untuk dihapuskan. Setiap hari ada sahaja berita mengenai penipuan, rasuah, penderaan, rompakan, membunuh, mencabul, rogol, buang bayi, dan sebagainya.

Apakah mereka yang melakukan perbuatan jahat ini tidak pernah terdidik? Kalau pernah belajar dan bersekolah tidakkah mereka telah diberi kefahaman tentang keburukan gejala ini dan kesannya terhadap diri, masyarakat dan negara. Bahkan keburukan yang akan dirasai bukan sahaja di dunia malah lebih teruk di akhirat nanti. Mungkin juga ketika bersekolah dulu, mereka tergolong dari pelajar cemerlang yang nama mereka pernah menghias halaman akhbar dalam mengharumkan nama keluarga, sekolah dan negara.

Setiap anggota masyarakat tanpa mengira pangkat dan fahaman politik perlu tampil memberikan sumbangan berupa buah fikiran dan tenaga ke arah membendung dan mengawal gejala sosial daripada terus berlaku dan berleluasa. Kita hendaklah berusaha menyelamatkan golongan yang telah tewas dan hanyut dalam gelombang gelora fasad dan mungkar. Mereka terdorong melakukan kemungkaran kerana pengaruh sebaran media massa tanpa tapisan yang berleluasa. Lantaran itu mereka jadi lalai, lagho dan leka. Mereka selesa membuang masa, berfoya-foya, tenggelam dalam arus kebejatan moral yang ditaja oIeh para perosak yang memakai berbagai nama antaranya; hak asasi, kebebasan, malam amal dan macam-macam lagi. Ke mana hilangnya sikap amanah, istiqamah, sabar, ikhlas, jati diri, wibawa, pengorbanan, perjuangan, daya tahan dan daya saing.

Kesimpulan daripada khutbah ini ialah;
1. Umat Islam perlu memiliki jiwa merdeka di samping membentuk generasi yang berkualiti .
2. Kuantiti umat dan generasi baru hendaklah dibentuk dan diperkukuh dengan iman dan pegangan Islam yang murni dan tulen.
3. Mereka hendaklah dididik menjadi insan mujahid, ikhlas, amanah, jujur, bertangggungjawab, berintegriti, berpandangan jauh dan mempunyai daya bersedia untuk masa depan.
4. Generasi yang dapat bekerjasama, bergabung tenaga untuk menyelesaikan berbagai masalah.
5. Umat Islam perlu bersatu membanteras kemurtadan, kezaliman, kemunafiqan, rasuah, salahlaku dan sikap khianat.

Thursday, March 3, 2011

Khutbah Jumaat 4 Mac 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "PELUANG HIDUP SEBELUM MATI". Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kita tentang kepentingan mengejar peluang yang diberikan dalam hidup. Kita diingatkan agar memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Ternyata kurniaan peluang hidup sebelum mati adalah peluang yang paling bernilai bagi seorang hamba Allah di dunia ini. Sesungguhnya kematian yang pasti itu adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita untuk membuktikan pengabdian kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

“Dialah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya, Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.

Justeru, walaupun di tahap mana usia kita, ruang kehidupan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal soleh sebagai bekalan untuk bertemu Allah S.W.T. Apatah lagi di ketika usia meniti senja, maka sewajarnya kesempatan ini digunakan sebaik mungkin sebagai bukti syukur kita kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan bonus usia kepada kita selaku hamba-Nya.

Oleh itu rumusan khutbah adalah seperti berikut:
Pertama : Pengurniaan usia yang panjang adalah nikmat yang perlu dihargai.
Kedua : Meningkatkan usaha dalam menuntut ilmu dan beramal soleh serta menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.
Ketiga : Mencari rakan yang baik dan hidup dalam suasana yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan mentaati perintah-Nya.
Keempat : Segera bertaubat mengikut landasan perjuangan hidup Islam dan berdoa agar kekal dalam hidayah Allah hingga ke akhir usia.
Kelima : Melibatkan diri dengan perkara-perkara amar maaruf nahi mungkar serta memahamkan syariat Islam dalam masyarakat.
Keenam : Mengasihi manusia agar Allah dan para malaikat mengasihi kita.

Saturday, February 26, 2011

Khutbah Jumaat 25 Februari 2011

Tajuk khutbah" Salah faham Terhadap Islam"
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing ) dan ia akan kembali dagang ( asing ) pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing". (Riwayat Muslim).

Hadith ini jelas menyatakan bahawa Islam yang bermula dengan dagang ( asing ) akan menjadi dagang di akhir zaman nanti. Sejarah telah menukilkan bahawa perkembangan Islam di peringkat awal juga asing. Islam sentiasa menghadapi kesukaran dan mendapat tentangan yang berpanjangan. Berkat ketabahan, kekentalan, kegigihan dan keyakinan para pendakwah atau da’ie serta dengan izin Allah Islam telah berkembang sehingga menjadi kuasa dunia yang hebat pada era kegemilangannya.

Marilah kita tanpa mengira pegangan parti politik dan kedudukan, supaya benar-benar menghayati maksud ayat tadi yang jelas menyatakan bahawa orang kafir secara umumnya, Yahudi dan Nasrani khususnya tidak akan redha jika Islam kembali mengungguli kepimpinan ummah. Mereka akan mengadakan pelbagai alasan dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Islam supaya ianya diragui serta seterusnya dijauhi. Mereka turut mengatakan; "Apakah agama yang membenarkan perbezaan taraf antara lelaki dan wanita, mengenakan hukum rejam, kerat tangan dan sebat masih relevan dengan zaman ini?". Oleh itu, marilah kita kembali menghayati, melaksana dan mengamalkan segala Tuntutan Islam sebenar berpandukan kepada Quran dan Sunnah. Insya-Allah, kita akan selamat dan sentiasa dibimbing oIeh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya

Tuesday, February 22, 2011

Kursus Haji Bersiri (16 siri)

Adalah dimaklumkan Kursus Haji Bersiri dengan kerjasama Gemilang Travel & Tours Sdn Bhd akan diadakan seperti berikut.

Tempat : Masjid As-Syakirin Kg Jenderam Hilir
Mula : 5 Mac 2011 (Sabtu)    Hari: Setiap Sabtu
Masa : 2.30 p.m - 4.30 p.m
Penceramah : Ustaz Hj Solehen b. Sapuan

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Hj. Nik 019-321 3806 atau Hj Zulkifli 012-318 3176
Terbuka kepada semua Muslimin dan Muslimat

Ceramah Maulidurrasul 1432 H







Pihak masjid As-Syakirin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakannya. Sambutan masyarakat kampung Jenderam Hilir amat membanggakan. Teruskan menyokong segala aktiviti masjid. Pihak masjid juga merakamkan jutaan terima kasih kepada para ulama'-ulama' nusantara dari Kamboja, Thailand, Indonesia, Malaysia dan juga Makkah yang turut serta menjayakan program ini. Ulama'-ulama' tersebut ialah Kiyai Haji Amir Hamzah (Mudir Pondok Pesantren Darul Islah, Jakarta) dan Kiyai Haji Ahmad Jamhuri Bin Jaharis Al-Banjari Al-Makki (Mekah) sebagai penceramah atau penyampai Tausiyah pada malam tersebut. Turut hadir ialah
1. Kiyai Haji Abd Jalil Bakri Rashid (Pondok Pesantren Daruttauhid, Malang, Jawa Timur, Indonesia)
2. Kiyai Haji Abdul Majid (Malang, Jawa Timur, Indonesia)
3. Kiyai Haji Shafie Munandar (Majlis Taa'lim Assyafi'iah, Jakarta)
4. Kiyai Haji MOhd Khalili Azmat Khan (Jawa Timur, Indonesia)
5. Baba Zakaria (Pattani, Thailand)
6. Baba Hasbullah (Pondok Dala, Pattani, Thailand)
7. Ustaz Haji Ahmad Alwi (Kampuchea)
8. Ustaz Haji Ahmad Sulaiman (Selatan Vietnam)

Seperti kata Tuan Guru Hj Hafiz Selamat kita perlu berbangga dengan kewujudan alim ulama', tuan guru serta imam yang sentiasa mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam amnya dan kampung Jenderam Hilir khususnya. Program ini dapat mengeratkan perpaduan penduduk kampung antara golongan kanak-kanak, golongan dewasa dan juga golongan tua bersama-sama memperingati kelahiran Rasullullah SAW. Semoga dapat bertemu lagi di program Maulidur rasul di tahun hadapan.

program gotong-royong sambutan maulidur rasul 20 Februari 2011


Pihak masjid As-Syakirin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk kampung yang telah bertungkus lumus menjayakan gotong-royong pada sebelah pagi hingga ke petang. Kaum muslimat didapati ramai yang hadir untuk memasak dan tidak kurang juga pihak muslimin yang membantu mengemas dan menanam pokok bunga di perkarangan masjid. Harapan agar kerjasama dan semangat ini dapat diteruskan di masa akan datang

Thursday, February 17, 2011

Khutbah Jumaat 18 Februari 2011

Tajuk "MAULIDUR RASUL : RASULULLAH S.A.W IKUTAN SEPANJANG ZAMAN"
Kedatangan bulan Rabiul Awal pada setiap tahun lazimnya mengingatkan kita tentang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran ini sesungguhnya telah memberikan makna yang amat besar kepada kelangsungan hidup umat manusia di dunia dan di akhirat. Umat manusia dan alam keseluruhannya telah dihamparkan dengan rahmat dan keberkatan melalui perantaraan Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W juga telah terbukti berjaya mentadbir sebuah negara Islam dengan penuh bijaksana, amanah dan adil. Kebijaksanaan, keadilan dan sifat amanah Baginda ini telah diikuti oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan khalifah Islam yang lain sehingga rakyat dapat hidup dengan aman dan makmur. Inilah tiga ciri utama yang seharusnya wujud dalam diri setiap insan yang bergelar pemimpin. Tanpa kebijaksanaan, negara pasti akan kucar kacir dan hancur. Tanpa keadilan pula, akan berlaku berbagai bentuk penindasan dan tanpa sifat amanah, maka akan berlakulah berbagai bentuk penyelewengan yang akhirnya akan merugikan rakyat dan juga negara.


Sesungguhnya Rasulullah S.A.W merupakan insan kamil yang paling layak untuk diikuti oleh setiap umat manusia. Di manapun kedudukan kita pada hari ini, sama ada sebagai pemimpin sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara seharusnya menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai satu-satunya qudwah hasanah dalam kehidupan kita. Jaminan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat bukanlah diukur dengan kekayaan dan pangkat sebaliknya ia diukur dengan sejauh mana kita telah mengikuti dan mengamalkan segala sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.