Thursday, February 17, 2011

Khutbah Jumaat 18 Februari 2011

Tajuk "MAULIDUR RASUL : RASULULLAH S.A.W IKUTAN SEPANJANG ZAMAN"
Kedatangan bulan Rabiul Awal pada setiap tahun lazimnya mengingatkan kita tentang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran ini sesungguhnya telah memberikan makna yang amat besar kepada kelangsungan hidup umat manusia di dunia dan di akhirat. Umat manusia dan alam keseluruhannya telah dihamparkan dengan rahmat dan keberkatan melalui perantaraan Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W juga telah terbukti berjaya mentadbir sebuah negara Islam dengan penuh bijaksana, amanah dan adil. Kebijaksanaan, keadilan dan sifat amanah Baginda ini telah diikuti oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan khalifah Islam yang lain sehingga rakyat dapat hidup dengan aman dan makmur. Inilah tiga ciri utama yang seharusnya wujud dalam diri setiap insan yang bergelar pemimpin. Tanpa kebijaksanaan, negara pasti akan kucar kacir dan hancur. Tanpa keadilan pula, akan berlaku berbagai bentuk penindasan dan tanpa sifat amanah, maka akan berlakulah berbagai bentuk penyelewengan yang akhirnya akan merugikan rakyat dan juga negara.


Sesungguhnya Rasulullah S.A.W merupakan insan kamil yang paling layak untuk diikuti oleh setiap umat manusia. Di manapun kedudukan kita pada hari ini, sama ada sebagai pemimpin sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara seharusnya menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai satu-satunya qudwah hasanah dalam kehidupan kita. Jaminan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat bukanlah diukur dengan kekayaan dan pangkat sebaliknya ia diukur dengan sejauh mana kita telah mengikuti dan mengamalkan segala sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

No comments:

Post a Comment