Saturday, July 23, 2011

Program gotong royong

Adalah dimaklumkan program gotong-Royong di masjid As-Syakirin sempena menyambut Ramadhan akan diadakan pada 24 Julai 2011 (Ahad) bermula jam 8.30 pagi. Sila bawa peralatan yang sesuai. Semua dijemput hadir

Program Rakan Masjid

Program tersebut akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 24 Julai 2011 (Ahad)
Tempat : Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
masa : 10.30 pagi.
Terbuka kepada semua penduduk Kg Jenderam Hilir

khutbah Jumaat 22 Julai 2011

Tajuk Khutbah Jumaat minggu ini "Sambutlah Ramadhan". Dengan penuh rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T, kita mengalu-alukan kedatangan ramadhan yang akan menjelang tiba beberapa hari lagi. Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan rahmat, bulan kebajikan, bulan maghfirah dan InsyaAllah akan
membebaskan kita daripada api neraka sekiranya kita benar-benar melaksanakan segala tuntutannya dengan penuh ketaatan. Setiap muslim mukmin yang muttaqi amat gembira dengan kedatangannya, sebaliknya
kedatangannya amat tidak disenangi pula oleh mereka yang lemah imannya.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:
“Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun”. (Riwayat At-Tabrani)
Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan
yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:
“Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa”. (Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;
“Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab”. (Riwayat Al-Muwatta’)
Diharap tidak ada di kalangan umat Islam yang melanggar perintah Allah SW.T supaya berpuasa. Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor telah menyebutkan bahawa:
“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau
dihisap serta-merta dalam waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya”.

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah Pengajian Minggu ini adalah seperti berikut:
23 Julai 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
24 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar.
25 Julai 2011 (Isnin) Ceramah Sempena menyambut Ramadhan-Selepas solat Maghrib
26 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.
Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, July 15, 2011

Sambutan Nisfu Sya'ban 1432 H

Adalah dimaklumkan sambutan Nisfu-Sya'ban akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 16 Julai 2011 (Sabtu)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Masjid As-Syakirin.
Muslimin Muslimat dijemput Hadir.

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
17 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas Maghrib, Ustaz Hj Badrul Hisham-kuliah Feqh
19 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith-Ustaz ismail bin Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Khutbah Jumaat 15 Julai 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah "Pendidikan Aqidah menangkis gejala Murtad" Detik tenat dan nazak kematian merupakan saat perpisahan seseorang dengan keluarganya, hartanya dan dunia fana' ini seluruhnya. Saat seperti ini, biasanya digunakan oleh orang yang hampir mati untuk menyampaikan pesanan terakhir atau wasiat penting. Biasanya wasiat yang disampaikan adalah berkenaan harta peninggalan, tanah pusaka atau hak-hak yang belum selesai. Sebagai keluarga muslim, barangkali kita beranggapan bahawa persoalan agama, akidah dan ibadah sudah dikira selesai. Lalu fokus diberi kepada soal lain melibatkan hal-hal keluarga atau harta.
Namun, Al-Quran mengajar kita supaya persoalan akidah diberi keutamaan, walaupun dalam keluarga seorang nabi; nabi Yaakub a.s. Bahkan, bapanya Ishak dan datuknya Ibrahim juga adalah nabi. Logiknya, dalam sebuah keluarga nabi atau ulama', didikan akidah sudah selesai di peringkat awal atau kanak-kanak lagi. Apatah lagi keluarga nabi, yang diasuh oleh bapa dan datuknya yang juga nabi. Bahkan, salah seorang anak nabi Yaakub a.s. juga adalah nabi, nabi Yusuf a.s. Namun, soal akidah masih ditekankan di saat akhir hidup nabi Yaakub a.s. Tentunya juga, di saat anak-anak itu sudah dewasa dan sudah diasuh sekian lama.
Akidah merupakan perkara paling penting di dalam kehidupan manusia di dunia. Ini kerana ia menjadi penentu masa depan seorang hamba di akhirat, sama ada mendapat kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka. Segala amal kebajikan manusia tertakluk kepada akidah yang benar. Jika akidahnya sejahtera, maka amal baiknya yang lain akan dihitung sebagai pahala. Sebaliknya, jika akidahnya rosak dan menyeleweng, segala amal baiknya menjadi hampa dan tidak berguna. Tiada sebarang balasan kebajikan diberikan kepadanya.
Pendidikan Akidah hendaklah diberikan penekanan kepada setiap orang ketua keluarga, bahkan kepada para pemimpin Negara dan masyarakat. Ia hendaklah sentiasa ditingkatkan dengan perkataan baru dan semasa. Justeru, kita melihat Al-Quran sentiasa memberi penekanan dalam soal ini. Setiap halaman Al-Quran tidak akan lepas daripada menjelaskan persoalan akidah, walaupun ketika menceritakan kisah umat yang terdahulu mahupun dalam membahaskan ayat-ayat hukum-hakam.
Antara langkah yang perlu dilaksanakan adalah:
Pertama: Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak dan keluarga mendapat Pendidikan Akidah dengan sebaiknya. Setiap individu hendaklah sentiasa menasihati ahli keluarga dan rakan-rakan supaya taatkan Allah dan beriman dengan hari akhirat dalam setiap urusan kehidupan. Kita hendaklah meringankan lidah untuk menyebut hal-hal berkaitan balasan di akhirat.
Kedua: Institusi Pendidikan termasuk masjid perlu menggunakan pendekatan semasa dan terkini dalam mendidik masyarakat memantapkan akidah. Ini termasuklah mengaitkan Pengajaran Akidah dengan Penemuan-penemuan Sains yang terkini. Pendekatan ini akan lebih memudahkan pemahaman umat Islam dalam mengukuhkan keimanan mereka. Di samping itu hendaklah menitik-beratkan soal akidah dalam Sistem
Pendidikan, Media Massa dan Program-program Latihan, termasuk Kem-kem Motivasi dan lain-lain lagi.

Friday, July 8, 2011

Khutbah Jumaat 8 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "BAGAIMANA MEMBENTUK KELUARGA BERIMAN". Islam telah menetapkan bahawa keluarga adalah merupakan satu tempat pergantungan manusia untuk menjaga diri, menaungi dan mendapat ketenteraman serta kebahagiaan dalam sebuah kehidupan. Ianya merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Keluarga adalah merupakan suatu amanah daripada Allah S.W.T yang harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Anak-anak kita adalah dianggap sebagai amanah Allah S.W.T. dan suami atau bapa adalah merupakan orang yang berperanan dan bertanggungjawab untuk membimbing ahli keluarganya ke arah mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Ilmu agama dalam diri kita adalah benteng yang mampu menangkis segala cabaran dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ia juga menjadi panduan kepada kita agar tidak tersesat daripada menuju ke matlamat akhir kehidupan ini. Tanpa ilmu agama, sudah pasti hidup kita akan tersesat dan terumbangambing tanpa arah dan tujuan yang sebenar. Oleh kerana itu, tanggungjawab utama yang harus diberikan tumpuan oleh suami isteri selaku ibubapa dalam usaha membentuk keluarga beriman adalah dengan didikan agama yang secukupnya. Didikan agama ini pula mestilah menekankan perkara-perkara yang berikut:
Pertama :Penekanan kepada pendidikan Al-Quran, kerana ianya merupakan satu-satunya mukjizat yang dapat melembutkan dan membentuk jiwa manusia yang beriman.
Kedua :Penekanan terhadap amalan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana setiap sunnahnya adalah berlandaskan syariat Allah S.W.T.
Ketiga :Penekanan terhadap ilmu-ilmu aqidah dan akhlak yang menjelaskan perihal kehidupan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan aqidah yang benar sahaja dapat melahirkan sifat ikhlas ketika beribadah kepada Allah S.W.T.
Keempat :Penekanan terhadap ilmu feqah sama ada yang berkaitan dengan ibadah, muamalah mahupun siasah. Dengan ilmu feqah akan dapat menjelaskan dan memisahkan antara perkara yang hak dan batil, seterusnya dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kejahilan, kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah S.W.T.
Maka, marilah kita tunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita supaya terbentuk sebuah keluarga yang bahagia dan beriman kepada Allah S.W.T. Antaranya adalah seperti berikut:
Pertama : Ibubapa hendaklah menunjukkan disiplin diri yang baik di hadapan anak-anak terutamanya dalam soal-soal ibadah seperti solat dan ibadah lain. Sesungguhnya pengaruh ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk mendisiplinkan anak-anak.
Kedua : Hendaklah melayan setiap ahli keluarga dengan penuh sopan santun. Cara ini akan dapat menambat hati anak-anak dan seterusnya akan lebih mudah untuk diikuti. Hakikatnya sikap bersopan santun ini merupakan aset yang paling berharga untuk ditanamkan dalam diri
anak-anak.
Ketiga : Menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ibubapa yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga akan menyebabkan anak-anak menyisihkan diri daripada ibubapanya ataupun sebaliknya.

Kuliah Pengajian minggu ini

Kuliah Pengajian Minggu ini adalah seperti berikut:
9 Julai 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
10 Julai 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
12 Julai 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, July 1, 2011

khutbah Jumaat 1 Julai 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah "ISRA’ DAN MI’RAJ: PERINGATAN KEPADA
MANUSIA” Bulan Rejab memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.; satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap terhadap Risalah Kenabian Baginda Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang dialami oleh Baginda dalam usahanya menyampaikan Risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika Baginda telah dipulaukan oleh kaumnya, Baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang disayanginya, bahkan Baginda juga telah dicederakan dan dilukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj.
Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra’ dan mi’raj ialah;
1- Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
2- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
3- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
4- Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah
tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
5- Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
6- Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging
orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.
Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allah SWT itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walau apapun maksud dan tujuan tersebut, kita yakin bahawa ke semuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaannya dengan apa yang telah digambarkan dalam Peristiwa Isra’ dan mi’raj. Sesungguhnya apa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan umatnya ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki diri pada setiap masa sebelum tibanya hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT; hari yang tiada manfaat baginya harta dan juga anak-pinak; hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allah SWT, iaitu hari perhitungan di Padang Mahsyar.

kuliah pengajian minggu ini

Pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
3 Julai 2011-Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato, Zakaria Jaafar. Kuliah Maghrib-Ustaz Badrul Hisham-Fqh. 5 Julai 2011 Kuliah Dhuha muslimat oleh Ustazah Junaidah jam 9.00 pagi. Kuliah hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad-selepas solat maghrib. Muslimin muslimat dijemput hadir.