Friday, April 8, 2011

khutbah Jumaat 8 April 2011

Tajuk khutbah Jumaat minggu ini ialah “KELUARGA YANG BAIK MELAHIRKAN GENERASI YANG BAIK”  Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita?. Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.
Kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat sanggup mencederakan dan membunuh. Berlakunya gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga berleluasanya gejala zina dan kelahiran anak luar nikah. Remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya. Bahkan kita sudah mendengar ada murid sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah. Asas pendidikan anak-anak adalah bermula dari rumah. Sekiranya di
rumah pun mereka tidak mendapat asas pendidikan Islam, apatah lagi di luar rumah, sudah tentu sukar untuk membentuk peribadi muslim yang sejati kerana pengaruh dan pancaroba di luar rumah adalah lebih dahsyat.
Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni
sahajalah yang berpeluang untuk selamat, namun kenyataannya hari ini kita dapati bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan. Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sempurna, mampu menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang akan menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak boleh dihalang dan dipengaruhi oleh gejala maksiat yang merosakkan.
Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam, mengajar mereka mengenal Allah SWT mengajar mereka sifat dan sikap yang baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka batas-batas halal dan haram dan bersikap tegas kepada anak-anak.  Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha menyelamatkan diri masing-masing dan ahli keluarga daripada azab api neraka. Dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan, berpakaian dan melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang.  Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka. Mereka hendaklah bertanya ke manakah mereka keluar, siapakah yang menemaninya, bila akan pulang dan pelbagai soalan berkaitan. Jangan membiarkan anak-anak melakukan perkara-perkara yang melanggar batas-batas agama.
Ingatlah, anak-anak adalah harta dan amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita untuk dipelihara dan membentuk mereka menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari sesuap nasi sedangkan rezeki esok hari belum dapat dipastikan lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT yang berupa anak, sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pusaka yang amat
berharga apabila kita tiada lagi.

No comments:

Post a Comment