Thursday, April 14, 2011

khutbah Jumaat 15 April 2011

Tajuk khutbah minggu ini: "Jahiliyyah Moden".  Jahiliyyah bermaksud ”sesat atau jahil”. Asalnya ia dimaksudkan kepada masyarakat jahiliyyah di semenanjung Tanah Arab yang hidup 1500 tahun dahulu sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W iaitu masyarakat yang mundur dari segi pembangunan, akhlak dan sosial ditambah pula dengan sikap keangkuhan, kesombongan dan kebodohan dari segi ilmu pengetahuan.  Dengan ketiadaan Nabi dan kitab suci yang boleh dijadikan petunjuk, mereka menjadi sesat, jauh daripada jalan kebenaran dan tiada sistem hidup yang menjamin kebahagian. Inilah asal bentuk masyarakat jahiliyyah. Jelasnya setiap tindakan yang berupa pandangan, perbuatan, pemikiran dan sikap yang menentang Islam termasuk dalam kategori jahiliyyah.
Meskipun generasi jahiliyyah itu telah berakhir ditelan zaman, namun sikap dan perwatakan jahiliyyah bentuk baru masih wujud hingga ke hari ini. Ditengah-tengah kehidupan dunia yang pesat membangun, masih terdapat manusia yang berperilaku jahiliyyah di sudut sikap, emosi, minda dan tindakan. Saban hari kita diperlihatkan dengan pelbagai perlakuan jahiliyyah moden yang mewarnai masyarakat kita hari ini. Suatu ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika kerana kecewa dengan hidup, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah terlibat jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah dan minum arak. Selanjutnya isu mat rempit yang tidak berkesudahan.
Marilah kita merenung kembali ke dalam diri kita mengapakah sampai begini hancur masyarakat kita hari ini?. Layakkah kita mengaku sebagai kaum muslimin dan umat Muhammad dengan situasi dan gaya hidup yang sebegini? Wajarkah kepincangan dan kecelaruan ini kita biarkan sehingga ia menjadi tradisi yang akan diwarisi oleh anak cucu kita nanti?. Sebagai seorang yang beriman, kita pasti tidak akan senang dan tenang dengan bayangan ngeri ini. Kita perlu akur bahawa perlakuan jahiliyyah moden dengan pelbagai bentuk ini adalah hasil keengganan kita menerima Islam sebagai panduan kehidupan. Sebahagian masyarakat kita hari ini semakin jauh dari kefahaman agama apatahlagi untuk mengamalkannya. Ilmu syariat tidak dipelajari, iman tidak dipupuk ke dalam diri, hidup hanya memburu kepuasan nafsu dan keperluan duniawi. Sepanjang hari, hanya sibuk mengurus dunia yang sementara, sedangkan kematian dan kehidupan akhirat yang pasti itu kita baikan
tanpa sebarang persiapan yang menjamin kebahagiaan. Inilah identiti masyarakat kita hari ini. Jiwa yang sarat dengan cinta dunia dan kosong iman ini sebenarnya terlalu rapuh, lalu mudah tewas dengan hasutan syaitan yang sentiasa mengheret manusia ke lembah kebinasaan.
Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung gejala perlakuan jahiliyyah dalam masyarakat kita adalah;
Pertama : Ibubapa dan guru hendaklah berperanan sebagai pencorak halatuju anak-anak. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai asas yang membentuk jati diri mereka.
Kedua : Kembali menjadi masyarakat yang peka dengan persekitaran dan saling ingat-mengingatkan.
Ketiga : Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T. dan berazam untuk mengamalkan syariat Islam. Ingatlah bahawa dengan taubat dan istighfar akan mengundang
rahmat Allah dan mengembalikan kekuatan kita sebagai umat Islam yang hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

No comments:

Post a Comment