Friday, April 22, 2011

khutbah Jumaat 22 April 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah “KEMBALILAH KE PANGKUAN AL-QURAN” Penurunan Al-Quran kepada kita, adalah sebenarnya sebagai satujawapan kepada kemelut yang ada. Apabila ternyata gagalnya sistem atau peraturan manusia, sepatutnya sikap dan keyakinan kita hanya kepada Al-Quran. Persoalannya bilakah lagi kita akan berjaya menjadikan undang-undang agung ini sebagai peraturan dalam kehidupan kita. Hanya berpandukan Al-Quran sahajalah yang mampu menjadi petunjuk, rahmat dan membawa berita gembira serta panduan untuk membimbing manusia memperolehi jalan kemenangan dan kebahagiaan.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 89:
“Kami turunkan kepadamu (Ya Muhammad) kitab Al-Quran ini bagi menjelaskan tiap-tiap suatu perkara dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan membawa berita gembira bagi orang-orang Islam”.
Al-Quran mampu menyelesaikan semua perkara yang berlaku kepada dunia dan ia mampu menunjukkan jalan kebenaran sekaligus memberikan rahmat kepada kehidupan manusia. Persoalannya adakah umat Islam hari ini bersedia untuk kembali kepada hukum Islam sebagai penyelesai masalah yang berlaku? Justeru, umat Islam secara drastik perlu untuk mengambil
beberapa langkah bagi memastikan Al-Quran kembali di singgahsana keagungannya seperti butiran berikut;
1. Pendedahan pelbagai teknik belajar membaca Al-Quran melalui klinik-klinik Al-Quran hendaklah diketengahkan sebagai alternatif atau usaha bagi umat Islam menguasai bacaan dan pembelajaran Al-Quran. Hadith riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan kemudian mengajarkannya”.
2. Penekanan terhadap tarbiyyah dan didikan anak-anak supaya lebih fokus untuk mengenali Al-Quran, memahami isi kandungannya, mengetahui hukum-hakam dan peraturannya serta memastikan penerusan pengajian agama diutamakan sehingga mampu melahirkan ‘alim ‘ulama dan seterusnya berperanan mengislahkan umat berdasarkan Al-Quran.
Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 122:
“Hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudahmudahan mereka menjadi orang-orang yang memberi peringatan (dari melakukan larangan Allah)”.
3. Usaha-usaha hendaklah diperjuangkan oleh umat Islam bagi mengembalikan undang-undang dan peraturan Allah supaya ianya dapat ditegakkan dan dilaksanakan seterusnya maslahah umat dapat dipelihara dan mampu membendung gejala pemesongan akidah dan sosial yang berlaku.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 105:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orangorang yang khianat.
4. Bawalah kembali ummah menghayati syariah Islam kerana dengan mengikut syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu jahiliyyah dan kerosakan.
Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48:
Maka jalankanlah hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) tentang apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti masing-masing)”.
5. Meneruskan kesedaran kepada umat Islam supaya membudayakan pembacaan Al-Quran untuk dibaca di masjid-masjid, di pejabat dan di rumah. Hanya orang-orang yang terbuka jiwanya dengan sinaran Al-Quran sahaja yang begitu memahami bahawa hanya hukum Allah SWT sahajalah penyelesai segala kemelut yang berlaku. Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:
“Lazimkan olehmu membaca Al-Quran, kerana Al-Quran itu cahaya bagi kamu di bumi dan perbendaharaan bagi kamu di akhirat”.

No comments:

Post a Comment