Tuesday, June 28, 2011

Ceramah Memperingati Peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad S.A.W



Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Intipati ceramah oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis ialah perlunya memperbanyakkan amal soleh seperti bersolat berjemaah di masjid, solat di awal waktu, banyakkan menunaikan solat sunat malam serta membaca Al-Quran agar kita sentiasa dibawah pengawasan malaikat dengan kehendak Allah s.w.t. Kedua perlu sentiasa memakmurkan masjid.

Ceramah Memperingati Peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad S.A.W

Hari : Selasa 28 Jun 2011 (26 Rejab 1432H)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat: Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir
Penceramah : Ustaz Ahmad Asri Lubis
Mantan Pensyarah di UKM & KUIS
Penceramah Motivasi di Negara Brunei & Bandar Baru Bangi, Selangor.
Muslimin & Muslimat dijemput Hadir

Saturday, June 25, 2011

khutbah Jumaat 24 Jun 2011

KHUTBAH SEMPENA ULANGTAHUN AN-NAKBAH KE - 63. Hari ini marilah kita memperingati satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Peristiwa tersebut dikenali sebagai 'Nakbah' yang membawa maksud 'Mala Petaka Besar'. Secara rasminya kemuncak Peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 Bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya dikebarkan bendera ' The Star of David' dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.
Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari Kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi tersebut menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanahair mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah melebihi 5 juta orang dan sehingga kini mereka tanpa mendapat sebarang pembelaan termasuklah daripada Negara-negara umat Islam.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disusuli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917 direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan yahudi oleh Resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas yahudi yang
merampas tanahair rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.
Pengisytiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul-Mukaddis Timur di mana terletaknya Masjidil-Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjidil-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga kehari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid.
Mereka menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil di bawahnya. Kesemua peristiwa ini gagal menggerakkan hati nurani umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin Al-Ayyubi ketika Baitul-Mukaddis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik, tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh regim zionis yahudi?.
Sebuah hadith daripada Mu'az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan dengan maksudnya:
"Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan Asy-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai Asy-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul-Mukaddis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan".
Hadith daripada Abi Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w.
mengingatkan dengan maksudnya: " Sekumpulan dari kalangan umatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya; "Di manakah mereka hai Rasulullah?. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Di Baitul-Mukaddis dan kawasan sekelilingnya".
(Riwayat Abdullah bin Ahmad dan At-Tabarani)

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
26 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
28 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah umum-sempena Isra' dan Mikraj. Muslimin muslimat dijemput hadir.

Friday, June 10, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Kuliah pengajian adalah seperti berikut:
11 Jun 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
12 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
14 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir

khutbah Jumaat 10 Jun 2011

Khutbah Jumaat minggu ini bertajuk JENAYAH QAZAF ADALAH DOSA BESAR.  Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.
Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat. Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
”Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya”.
(Riwayat At-Thabrani).
Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya mereka yang melakukan jenayah qazaf telah melakukan perbuatan yang haram dan termasuk tujuh jenis dosa besar. Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu;
Pertama : Dari segi fizikalnya, boleh dikenakan lapan puluh sebatan.
Kedua : Dari segi moral dan sosialnya, akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.
Ketiga : Dari segi keagamaannya akan tergolong sebagai orang yang fasiq.
Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membersihkan diri kita dari sifat-sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T. Tingkatkanlah kefahaman kita mengenai Islam dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid dan surau. Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan, institusi perundangan dan masyarakat hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya kerana ruang dan peluang telah tersedia. Insya Allah kita akan mendapat pemeliharaan serta pertolongan daripada Allah S.W.T.

Friday, June 3, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
5 Jun 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Badrul Hisham-kuliah Feqah
7 Jun 2011 (Selasa) Kuliah Dhuha Wanita (9.00 pagi) Ustazah Junaidah Awang. Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad. Muslimin muslimat dijemput hadir.