Friday, September 4, 2009

Tazkirah Ramadan (Siri-1)

Masjid al-Syakirin, Jenderam Hilir

Tazkirah Ramadan (Siri-1)
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani

Pertamanya marilah kita bersyukur ke hadrat Allah (SWT) kerana memberikan kita kekuatan untuk meneruskan puasa pada bulan Ramadan bulan yang penuh rahmat dan berkat ini. Kita perlu menyedari perkara ini kerana ramai di kalangan kita tidak bersama kita pada Ramadan tahun ini kerana telah pergi dahlu meninggalkan kita. Ada juga di kalangan kita yang melihat Ramadan sambil lewa sahaja, maka rugilah ia.

Saudari/I ikhwan al-muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Syariat menuntut umat Islam berpuasa diambil daripada firman Allah … yang bermaksud “Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sepertimana difardukan ke atas mereka sebelum kamu, moga-moga peroleh taqwa”. Puasa difardukan pada bulan Syaban tahun kedua selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Puasa atau siam dari segi bahasa bermaksud tahan iaitu menahan seseorang diripada sesuatu, seperti menahan seseorang daripada bercakap, melihat dan sebagainya. Dari segi syarak bermaksud menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa bermula fajar hingga maghrib. Puasa adalah wajib dan orang yang mengingkari wajibnya puasa hukumnya adalah kafir.

Saudari/I ikhwan al-muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Pesyariatan puasa oleh Allah SWT kepada umatnya bukan untuk memberat dan membebankan umat Islam lantaran tidak boleh makan atau minum. Ulama menyelidiki dan memberikan hikmah di sebalik pensyariatan puasa yang difardukan, antaranya

1. Berkata Hasan al-Basri (ra) umat Islam disuruh berlapar dan dahaga kerana Allah akan menjamu mereka yang berpusa dengan menu istimewa oleh Allah dalam syurga Firdaus pada hari akhirat nanti.
2. Berpuasa juga boleh menimbulkan kesedaran betapa peritnya kehidupan orang miskin yang tiada makanan untuk meneruskan kehidupan mereka, seperti berlaku kepada umat Islam di kebanyakan tempat di Palestin, Dafur (Afrika), Afghanistan, Kemboja, Rohongya, Patani dan sebagainya. Justeru timbul kesedaran untuk membabtu bersama-sama meringankan beban mereka.
3. Puasa juga dapat mengembalikan diri manusia yang tersasar dari landasan sebenar kerana didorong oleh hawa nafsu yang jahat kepada fitrah semulajadi kejadian manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Peringatan yang lembut sukar tidak diendahkan dan dipandang sebelah mata sahaja. Justeru dengan memaksa mereka berlapar baru mereka tahu bahawa lemahnya diri seseorang manusia itu. Hal ini diibarat oleh ulama seperti membetulkan besi yang bengkok dengan menggunakan api.
4. Malaikat mengadu kepada allah kerana banyak maksiat dilakukan oleh orang mukmin di muka bumi ini. lalu Allah memfardukan puasa kepada manusia kerana melalui kepayahan dan kesukaran yang dihadapi manusia pada Ramadan itu dapat membendung mereka daripada melakukan maksiat. Hal ini terbukti kurangnya gejala maksiat dilaporkan pada buka Ramadan ini.
5. Berpuasa juga dapat menambahkan ibadat yang wajib dan menzuhud yang halal kerana masa untuk makan dan minum sudah tiada.
6. Puasa dapat memperlihatkan sifat lemah lembut dan kasih sayang Allah kepada hambanya, ini diibarat seperti doktor menasihat/melarang pesakitnya daripada makan dan minum sesuatu. Ini dilakukan bukan bukan kerana benci tetapi kerana ingin melihat pesakitnya itu kembali sihat dan ceria seperti biasa.
7. Makhluk yang bernama syaitan yang menjadi musuh mukmin itu sentiasa mengajak dan menggoda manusia melakukan kejahatan dan manusia pula cenderung kea rah tersebut. Justeru, dengan berpuasa dapat membendung daripada godaan syaitan melalui berlapar dan dahaga
Dinamakan Ramadan berasal dari ramda yang bermaksud bersangatan panas yang menghanguskan juga boleh dikias dengan menghanguskan/menghapuskan dosa.

Rujukan : kitab Bughyah al-Tullab, Shaykh Daud al-Fatan
Kitab Riyad al-Salihin, al-Imam al-Nawawi

No comments:

Post a Comment