Friday, September 18, 2009

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Fitri

Pihak masjid ingin memaklumkan bahawa sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri akan bermula sekitar jam 8.20 pagi. Harap Maklum

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1430 Hijrah

Pihak nazir dan jawatankuasa masjid As-Syakirin Jenderam Hilir memohon ampun dan maaf di atas segala kelemahan sekiranya ada sepanjang memegang jawatan di masjid ini. Pihak masjid serta jawatankuasa masjid juga engucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua jemaah dan penduduk kampung Jenderam Hilir.

Khutbah Jumaat (18 September 2009)

Khutbah Jumaat pada minggu ini bertajuk"Sambutan Hari Raya Aidl Fitri". Para muslimin dan muslimat diingatkan supaya merayakan hari raya mengikut syariat Islam. Digalakkan pada malam hari raya bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Allah s.w.t, di pagi raya, disunatkan mandi sunat hari raya aidil fitri, memakai pakaian baru dan jangan membuka aurat. Jangan membazir dalam segala perbuatan terutamanya dalam hal ehwal makan dan minum. Ini kerana orang yang melakukan perbuatan membazir itu adalah saudara syaitan. Amalkan sikap ziarah menziarahi ibu bapa, kaum kerabat dan saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan dengan bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.
Jemaah juga dingatkan agar segera menunaikan zakat terutamanya zakat fitrah agar ibadat puasa sepanjang Ramadhan ini dapat ditampung kekurangannya dengan berzakat. Akhirnya selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.

Majlis Khatam Al-Quran

Majlis tersebut telah berlangsung seperti berikut:

Tarikh : 16 September 2009 (Rabu)
Masa : Selepas solat Terawih
Tempat : Masjid As-Syakirin, Jenderam Hilir.

Semoga program ini dapat dimeriahkan lagi di masa akan datang

Sunday, September 13, 2009

Khutbah Jumaat (11 September 2009)

Tajuk khutbah minggu ini ialah "Zakat Fitrah: Jalan Menuju Kejayaan Hidup". Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat 103 yang bermaksud:
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan diri mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui".
Zakat fitrah ialah ibadah yang diwajibkan di dalam bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut syarat dan peraturan. Ia diwajibkan keatas setiap muslim berdasarkan kepada maksud hadist dari Ibni Umar RA A'nhu katanya ; Rasulullah Sallaulahu Alaihi Wassallam mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan terhadap setiap muslim samada mereka itu hamba,lelaki atau perempuan iaitu segantang kurma atau gandum. Di Malaysia, zakat fitrah ditunaikan bersandar kepada nilai beras kerana ia merupakan makanan utama Negara.
Seseorang muslim diwajibkan menunaikan zakat fitrah dengan syarat-syarat tersebut ;
1. Islam
2. Merdeka
3. Memiliki sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluan dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu malam hingga satu hari raya pada esoknya.
Allah menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-hambaNya yang ikhlas menunaikan ibadah zakat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum, ayat 39 ;
"Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembang dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah SWT (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata ,maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda".
Selain itu, Allah SWT akan menggantikan yang lebih baik daripada yang di miliki oleh hambanya yang ikhlas menunaikan zakat. Firman Allah dalam Surah Saba' ayat ke 39:
"Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang di kehendaki diantara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyampaikan baginya; dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki".
Majlis fatwa negeri Selangor telah memutuskan bahawa harga zakat fitrah pada Ramadan 1430 hijrah ini ialah RM 7.00 seorang.
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi di redhainya, maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia dan masuklah kedalam syurgaku."

Tuesday, September 8, 2009

Majlis berbuka puasa bersama jawatankuasa masjid & penduduk

Adalah dimaklumkan majlis tersebut telah berlangsung bersempena peristiwa Nuzul Al-Quran seperti butiran berikut:

Tarikh : 7 September 2009 (Isnin)
Tempat : Masjid Jenderam Hilir.

Semoga program ini dapat diteruskan dari masa ke semasa.

Friday, September 4, 2009

Tazkirah Ramadan (Siri-1)

Masjid al-Syakirin, Jenderam Hilir

Tazkirah Ramadan (Siri-1)
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani

Pertamanya marilah kita bersyukur ke hadrat Allah (SWT) kerana memberikan kita kekuatan untuk meneruskan puasa pada bulan Ramadan bulan yang penuh rahmat dan berkat ini. Kita perlu menyedari perkara ini kerana ramai di kalangan kita tidak bersama kita pada Ramadan tahun ini kerana telah pergi dahlu meninggalkan kita. Ada juga di kalangan kita yang melihat Ramadan sambil lewa sahaja, maka rugilah ia.

Saudari/I ikhwan al-muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Syariat menuntut umat Islam berpuasa diambil daripada firman Allah … yang bermaksud “Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sepertimana difardukan ke atas mereka sebelum kamu, moga-moga peroleh taqwa”. Puasa difardukan pada bulan Syaban tahun kedua selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Puasa atau siam dari segi bahasa bermaksud tahan iaitu menahan seseorang diripada sesuatu, seperti menahan seseorang daripada bercakap, melihat dan sebagainya. Dari segi syarak bermaksud menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa bermula fajar hingga maghrib. Puasa adalah wajib dan orang yang mengingkari wajibnya puasa hukumnya adalah kafir.

Saudari/I ikhwan al-muslimin yang dirahmati Allah sekelian,
Pesyariatan puasa oleh Allah SWT kepada umatnya bukan untuk memberat dan membebankan umat Islam lantaran tidak boleh makan atau minum. Ulama menyelidiki dan memberikan hikmah di sebalik pensyariatan puasa yang difardukan, antaranya

1. Berkata Hasan al-Basri (ra) umat Islam disuruh berlapar dan dahaga kerana Allah akan menjamu mereka yang berpusa dengan menu istimewa oleh Allah dalam syurga Firdaus pada hari akhirat nanti.
2. Berpuasa juga boleh menimbulkan kesedaran betapa peritnya kehidupan orang miskin yang tiada makanan untuk meneruskan kehidupan mereka, seperti berlaku kepada umat Islam di kebanyakan tempat di Palestin, Dafur (Afrika), Afghanistan, Kemboja, Rohongya, Patani dan sebagainya. Justeru timbul kesedaran untuk membabtu bersama-sama meringankan beban mereka.
3. Puasa juga dapat mengembalikan diri manusia yang tersasar dari landasan sebenar kerana didorong oleh hawa nafsu yang jahat kepada fitrah semulajadi kejadian manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Peringatan yang lembut sukar tidak diendahkan dan dipandang sebelah mata sahaja. Justeru dengan memaksa mereka berlapar baru mereka tahu bahawa lemahnya diri seseorang manusia itu. Hal ini diibarat oleh ulama seperti membetulkan besi yang bengkok dengan menggunakan api.
4. Malaikat mengadu kepada allah kerana banyak maksiat dilakukan oleh orang mukmin di muka bumi ini. lalu Allah memfardukan puasa kepada manusia kerana melalui kepayahan dan kesukaran yang dihadapi manusia pada Ramadan itu dapat membendung mereka daripada melakukan maksiat. Hal ini terbukti kurangnya gejala maksiat dilaporkan pada buka Ramadan ini.
5. Berpuasa juga dapat menambahkan ibadat yang wajib dan menzuhud yang halal kerana masa untuk makan dan minum sudah tiada.
6. Puasa dapat memperlihatkan sifat lemah lembut dan kasih sayang Allah kepada hambanya, ini diibarat seperti doktor menasihat/melarang pesakitnya daripada makan dan minum sesuatu. Ini dilakukan bukan bukan kerana benci tetapi kerana ingin melihat pesakitnya itu kembali sihat dan ceria seperti biasa.
7. Makhluk yang bernama syaitan yang menjadi musuh mukmin itu sentiasa mengajak dan menggoda manusia melakukan kejahatan dan manusia pula cenderung kea rah tersebut. Justeru, dengan berpuasa dapat membendung daripada godaan syaitan melalui berlapar dan dahaga
Dinamakan Ramadan berasal dari ramda yang bermaksud bersangatan panas yang menghanguskan juga boleh dikias dengan menghanguskan/menghapuskan dosa.

Rujukan : kitab Bughyah al-Tullab, Shaykh Daud al-Fatan
Kitab Riyad al-Salihin, al-Imam al-Nawawi

Khutbah Jumaat (4 September 2009)

Tajuk khutbah ialah "Nuzul Quran". Dalam bulan yang mulia ini, di antara peristiwa penting yang berlaku di dalamnya ialah peristiwa turunnya al-Quran (Nuzul Quran). Al-Quran yang bukan sekadar dibaca dan ditaranumkan tetapi ia hendaklah diamalkan dalam kehidupan. Oleh itu sesuai dengan bulan kebajikan ini, marilah menghayati al-Quran dan tujuan ia diturunkan mudah-mudahan ia memberkati kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat. Nuzul al-Quran adalah bermaksud penurunan al-Quran pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan dari Allah ke Luh al-Mahfuz secara sekali gus atau keseluruhan (jumlatan wahidatan) kemudian turun dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-'Izzah di langit dunia juga secara keseluruhan, kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Dukhan ayat 3:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab)".
Begitu juga Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".
Berinteraksi dengan al-Quran bukan hanya menjadikan ia sebagai tangkal azimat, bukan hanya digantung sebagai perhiasan, bukan hanya dibaca sempena majlis khatam al-Quran, bukan juga hanya dibaca yasin pada malam Jumaat dan malam-malam nisfu sya'ban, bukan menjadi adat dibaca apabila adanya kematian, begitu juga bukan hanya minat dengan mempelajari tajwid dan mengalunkan taranumnya tetapi yang lebih penting dan perlu ialah:
1. Ditadabbur dan dihayati
Ia perlu dibaca dan dihayati isi kandungannya serta kefahaman hukum hakamnya sehinggalah ia benar-benar menjadi pedoman dan hidayah yang menuntun kita ke jalan yang benar lagi selamat di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 24:
"(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar".
2. Dipelajari dan dilaksanakan
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 49:
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik".
Mereka yang beruntung ialah yang hidupnya sentiasa berdamping dan berada di antara helaian al-Quran. Ini kerana mereka inilah yang sentiasa mendapat perlindungan Allah dengan berpayung di bawah naungan al-Quran, berjalan beroborkan al-Quran dan matinya diselubungi al-Quran. Mereka ini menjadikan al-Quran sebagai:
1. Shifa' atau penawar sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 57;
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".
2. sebagai Rahmat, firman Allah SWT dalam Surah an-Nahlu ayat 89;
"Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam".
3. sebagai Nur, firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 15-16;
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".
4. Al-Quran sebagai Hidayah, firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 9;
"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".
5. Al-Quran sebagai peraturan hidup, firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa' ayat 59:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".

Pembayaran Zakat Fitrah tahun 1430H

Adalah dimaklumkan bahawa zakat fitrah di negeri Selangor tahun ini ialah RM7 seorang. Pembayaran boleh dilakukan selepas solat fardu atau selepas solat terawih di masjid Jenderam Hilir. Pembayarn boleh dilakukan kepada Amil yang dilantik iaitu Tuan Haji Azman b Abdul Rahman dan Raja Azhar b. Raja Alias.