Friday, May 6, 2011

khutbah Jumaat 6 Mei 2011

Tajuk khutbah Jumaat Minggu ini ialah “KEWAJIPAN MEMILIH PEKERJAAN YANG HALAL”. Islam amat menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha mencari rezeki sebagai memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kehidupan di dunia ini. Pekerjaan itu sendiri sebenarnya merupakan suatu ibadat yang akan dihitung oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini pasti tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah SWT. Mereka akan dipersoalkan satu demi satu sehingga jelaslah semua pekerjaan yang mereka lakukan di dunia ini. Sekiranya mereka melakukan pekerjaan yang baik lagi halal maka akan berbahagialah mereka di hari perhitungan kelak. Sebaliknya bagi mereka yang melakukan pekerjaan jahat dan haram maka keadaan mereka akan menjadi hina dan tercela pada hari tersebut.
Oleh kerana pekerjaan yang halal dan baik itu merupakan suatu ibadat, maka Allah SWT telah menyediakan beberapa ganjaran kebaikan kepada umatnya. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai suatu dorongan kepada umat Islam agar memilih pekerjaan yang halal dan diredhai oleh Allah SWT. Antaranya ;
1. Kita akan mendapat penghidupan yang baik dan diberkati oleh Allah SWT. Firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat ke 97 yang bermaksud; ”Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.
2. Kita juga akan diberikan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT apabila bertemu dengan-Nya di hari akhirat kelak. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Toha ayat 75 yang bermaksud ; ”Dan barangsiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman, dan telah beramal saleh, maka mereka itulah orang-orang yang memperoleh darjat yang tinggi (mulia)”.
3. Ganjaran besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya yang melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik ialah penghidupan di syurga beserta rezeki yang melimpah-ruah. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam surah Al-Mukmin ayat ke 40 yang bermaksud ; Barangsiapa mengerjakan sesuatu perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan yang dilakukannya itu. dan barangsiapa mengerjakan amal yang saleh baik laki-laki mahu pun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya dengan tidak terhitung”.


Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang umatnya memiliki harta kekayaan. Malahan mereka amat digalakkan untuk mencari kekayaan dengan pekerjaan yang halal. Apatah lagi sekiranya harta kekayaannya itu digunakan pada perkara-perkara kebaikan seperti zakat, infaq, wakaf, bersedekah, menolong umat Islam yang lain, menafkahkannya pada jalan Allah dan lain-lain lagi.
Oleh kerana itu, untuk mendapatkan kekayaan, umat Islam mestilah berusaha dan bekerja. Manakala pekerjaan yang dipilih itu pula mestilah pekerjaan yang halal agar kekayaan yang bakal dimiliki akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
6 Mei 2011 (Jumaat) Selepas solat Maghrib, kuliah oleh Tuan guru Hj Hafidz Selamat-Kitab Tuhfah Arroghibin.
8 Mei 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
10 Mei 2011 (Selasa) Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.

Saturday, April 30, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
1 Mei 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah.
3 Mei 2011 (Selasa) Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.
Muslimin muslimat dijemput hadir

Friday, April 22, 2011

kuliah pengajian minggu ini

Adalah dimaklumkan kuliah pengajian minggu ini adalah seperti berikut:
23 April 2011 (Sabtu) (selepas solat Maghrib) Ustaz Najmudin Abdul Karim-kitab tanbihul ghafilin.
24 April 2011 (Ahad) Kuliah Subuh oleh Ybhg Dato' Zakaria Jaafar-Kitab Rasulullah Qudwatun Hasanah. Selepas maghrib, Ustaz Hj Mohamad b. Rani-kuliah tauhid
26 April 2011 (Selasa) Selepas solat Maghrib, Kuliah Hadith oleh Ustaz Ismail Ahmad.
Muslimin muslimat dijemput hadir

khutbah Jumaat 22 April 2011

Tajuk khutbah minggu ini ialah “KEMBALILAH KE PANGKUAN AL-QURAN” Penurunan Al-Quran kepada kita, adalah sebenarnya sebagai satujawapan kepada kemelut yang ada. Apabila ternyata gagalnya sistem atau peraturan manusia, sepatutnya sikap dan keyakinan kita hanya kepada Al-Quran. Persoalannya bilakah lagi kita akan berjaya menjadikan undang-undang agung ini sebagai peraturan dalam kehidupan kita. Hanya berpandukan Al-Quran sahajalah yang mampu menjadi petunjuk, rahmat dan membawa berita gembira serta panduan untuk membimbing manusia memperolehi jalan kemenangan dan kebahagiaan.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 89:
“Kami turunkan kepadamu (Ya Muhammad) kitab Al-Quran ini bagi menjelaskan tiap-tiap suatu perkara dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan membawa berita gembira bagi orang-orang Islam”.
Al-Quran mampu menyelesaikan semua perkara yang berlaku kepada dunia dan ia mampu menunjukkan jalan kebenaran sekaligus memberikan rahmat kepada kehidupan manusia. Persoalannya adakah umat Islam hari ini bersedia untuk kembali kepada hukum Islam sebagai penyelesai masalah yang berlaku? Justeru, umat Islam secara drastik perlu untuk mengambil
beberapa langkah bagi memastikan Al-Quran kembali di singgahsana keagungannya seperti butiran berikut;
1. Pendedahan pelbagai teknik belajar membaca Al-Quran melalui klinik-klinik Al-Quran hendaklah diketengahkan sebagai alternatif atau usaha bagi umat Islam menguasai bacaan dan pembelajaran Al-Quran. Hadith riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan kemudian mengajarkannya”.
2. Penekanan terhadap tarbiyyah dan didikan anak-anak supaya lebih fokus untuk mengenali Al-Quran, memahami isi kandungannya, mengetahui hukum-hakam dan peraturannya serta memastikan penerusan pengajian agama diutamakan sehingga mampu melahirkan ‘alim ‘ulama dan seterusnya berperanan mengislahkan umat berdasarkan Al-Quran.
Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 122:
“Hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudahmudahan mereka menjadi orang-orang yang memberi peringatan (dari melakukan larangan Allah)”.
3. Usaha-usaha hendaklah diperjuangkan oleh umat Islam bagi mengembalikan undang-undang dan peraturan Allah supaya ianya dapat ditegakkan dan dilaksanakan seterusnya maslahah umat dapat dipelihara dan mampu membendung gejala pemesongan akidah dan sosial yang berlaku.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 105:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orangorang yang khianat.
4. Bawalah kembali ummah menghayati syariah Islam kerana dengan mengikut syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu jahiliyyah dan kerosakan.
Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48:
Maka jalankanlah hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) tentang apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti masing-masing)”.
5. Meneruskan kesedaran kepada umat Islam supaya membudayakan pembacaan Al-Quran untuk dibaca di masjid-masjid, di pejabat dan di rumah. Hanya orang-orang yang terbuka jiwanya dengan sinaran Al-Quran sahaja yang begitu memahami bahawa hanya hukum Allah SWT sahajalah penyelesai segala kemelut yang berlaku. Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:
“Lazimkan olehmu membaca Al-Quran, kerana Al-Quran itu cahaya bagi kamu di bumi dan perbendaharaan bagi kamu di akhirat”.

Sunday, April 17, 2011

Lawatan Mahabbah ke Masjid Sultan Hishamuddin BBST


Lawatan tersebut telah mengeratkan lagi hubungan antara jawatankuasa masjid As-Syakirin dengan Jawatankuasa masjid sultan hishamuddin, BBST. Ketika lawatan tersebut, nazir masjid sultan hishamuddin telah membentangkan dan berkongsi pengalaman segala aktiviti yang telah dilakukan oleh pihak masjid yang bertujuan untuk mengimarahkan masjid.
Pada malam tersebut juga telah diadakan ceramah bulanan oleh Ybhg Dato' Kamarudin Zakaria, mantan Imam masjid negara bertajuk menghadapi sakaratul maut. Terdapat 4 perkara utama yang perlu dititik beratkan sebelum menghadapi sakaratul maut. 1. perlu mempunyai ilmu 2. perlu menjaga amanah termasuklah amanah segala anggota tubuh badan. 3 mempunyai akhlak yang terpuji 4. mestilah beramal soleh dengan ilmu. Insha Allah, Allah akan permudahkan menghadapi sakaratul maut.

Friday, April 15, 2011

Lawatan ramah mesra ke masjid Salak Tinggi

Lawatan ke masjid Hishamuddin Salak Tinggi adalah seperti berikut:
Tarikh : 16 April 2011 (Sabtu)
Masa : 5.30 petang
Aturcara: Penerangan mengenai pentadbiran dan aktiviti masjid, lawatan untuk melihat kemudahan masjid  serta mengikuti ceramah khas bulanan oleh Dato' Kamaruddin Zakaria, Mantan Imam masjid negara.